Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Viral Di FB, Dapat Hadiah Tak Dijangka

By 6 September 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Fauzrina Hj Bulka / Foto: Ihsan Mardhiah Nasir

MELAKA, 6 Sept (Malaysiaaktif) – Ibu kepada lima orang anak, Mardhiah Nasir, 29, tidak menjangka gambar keluarga yang viral di laman sosial Facebook pada tahun lepas telah menjentik hati seorang usahawan untuk memberikannya hadiah.

Gambar Mardhiah bersama keluarganya yang dimuat naik di laman sosial menjadi viral kerana mereka mengenakan baju jalur gemilang ketika menyambut ambang Merdeka setiap tahun.

pic7

“Usahawan tersebut menghubungi saya untuk memberikan produk kecantikan berjenama yang bernilai RM1,000 kerana merasa bangga melihat kami sekeluarga memakai baju bendera,” ujarnya.

Mardhiah yang juga merupakan seorang tukang jahit telah empat tahun menyediakan pakaiannya sekeluarga bercorakkan jalur gemilang bagi menyambut Hari Kebangsaan.

pic8

“Setiap tahun, suami akan mencabar saya untuk mereka corak baru dan berbeza dan hasilnya tidak pernah mengecewakan keluarga saya,” jelas Mardhiah.

Tambahnya, bagi pemilihan kain pula, Mardhiah berkata mereka akan membeli kain yang berkualiti seperti kain jersey ataupun satin dan pada bahagian yang menggunakan bendera pula akan dilapik dengan kain lain supaya tidak kelihatan nipis.

pic9

Jelasnya lagi, kos yang dikeluarkan untuk mereka sekeluarga mencecah RM250 hingga RM350. Selain itu, tahun ini dia turut menerima sebanyak lima tempahan baju bendera kerana kekemasan jahitannya.

“Tahun lepas, ada yang berminat untuk menyewa baju kami, jadi saya sewakan pada kadar RM30. Tapi, tahun ini ramai yang menempah dan saya kenakan kadar serendah RM50 hingga RM150 mengikut jenis rekaan,” jelas Mardhiah.

Menurutnya, cabaran dalam menghasilkan baju bendera ialah bukan sekadar memotong bendera dan jahit, tetapi perlu tahu makna setiap warna dan lambang pada bendera.

pic3

“Pada saya, bulan dan bintang memang tidak boleh dan tak sepatutnya diletakkan di bahagian kaki dan sebab itu lah perancangan perlu ada sebelum memulakan jahitan,” tegas Mardhiah ketika ditemui di kediamannya di Bukit Lintang, di sini.

Dalam sambutan ambang hari Kebangsaan baru-baru ini, sekali lagi tuah bersama mereka apabila ditawarkan sebuah basikal oleh urus setia sebuah majlis tanpa perlu mengikuti apa-apa peraduan.

“Kami hanya berjalan-jalan seperti biasa dengan baju bendera kami dan tiba-tiba seorang lelaki memanggil kami dan menawarkan sebuah basikal. Kami dipanggil ke atas pentas pada akhir majlis untuk menerimanya,” ujarnya gembira.

Sementara itu, ketika ditanya tentang sejauh mana semangat patriotik dalam kalangan generasi muda sekarang, Mardhiah berkata dia lihat semangat itu kini semakin rapuh.

“Bila kita bersemangat, ada pula yang kata kita ni poyo (beria-ria) sangat. Walhal, sepatutnya kita kena bangga dan bersyukur sebab kita masih ada negara kita sendiri,” katanya.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda