Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangorViral

Krisis Air Jejas Aktiviti Penduduk Semenyih

By 27 September 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh  Noor Suzilawati Jamaludin

SEMENYIH, 27 September (Malaysiaaktif) – Krisis bekalan air yang melanda penduduk Semenyih bukan perkara baharu. Tambahan pula, perkara ini berterusan semenjak lima hari lalu yang menyebabkan penduduk di sekitar kawasan tersebut mengalami gangguan bekalan air yang teruk.

Menurut Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), masalah ini berlaku akibat daripada penutupan loji empangan Semenyih bagi tujuan pemulihan air Sungai Semenyih yang tercemar.

Sebanyak empat buah unit lori tangki air Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri serta satu unit lori tangki air dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menyertai operasi di mana setiap tangki air tersebut membawa kira-kira 20 ribu liter air bagi pengagihan ke kawasan yang terlibat.

“Kerajaan negeri sepatutnya berusaha menangani masalah berkaitan air kerana penutupan loji tersebut telah melibatkan empat kawasan iaitu Hulu Langat, Petaling Jaya, Sepang dan Kuala Langat dan melibatkan 330 ribu pengguna berdaftar dan 1.5 juta orang yang terjejas akibat dari gangguan bekalan air tersebut”, tegas Menteri Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar dalam sidang media di hadapan perkarangan Pejabat ADUN Semenyih, semalam.

Pengagihan air mineral kepada orang ramai

Pengagihan air mineral kepada orang ramai

 

Pengagihan botol air mineral 5 liter turut diagihkan kepada orang ramai yang melalui kawasan pergerakan beliau menuju ke Fasa 6 Bandar Tasik Kesuma bagi pengagihan bekalan air bersama-sama jentera Bomba.

“Saya merasa kesal terhadap pengurusan sistem bekalan air ke kawasan perumahan terutamanya rumah flat Fasa 6 Bandar Tasik Kesuma yang tidak dihantar bekalan air secara berjadual oleh pihak SYABAS dan ini menyukarkan lagi apabila melibatkan warga emas untuk mengangkat air bagi kegunaan harian”, keluh salah seorang penduduk yang mengalami situasi ini, Rohani binti Baharum.

Beliau menambah lagi, “Anak-anak kami juga tidak dapat bersekolah akibat daripada ketiadaan air dan gerai makanan yang diusahakan penduduk setempat tidak dapat beroperasi selama ketiadaan air tersebut”.

Setiausaha Penduduk Bandar Teknologi Kajang, Jamal Abdul Kadir

Setiausaha Penduduk Bandar Teknologi Kajang, Jamal Abdul Kadir

 

Menurut Setiausaha Penduduk Bandar Teknologi Kajang, Jamal Abdul Kadir, “Ekoran pencemaran air sungai khususnya di kawasan loji rawatan air dan kawasan tadahan sudah berlaku banyak kali”.

“Menteri Besar Selangor sendiri dalam sidang DUN pada 2015, menjelaskan bahawa kilang yang menyebabkan pencemaran sungai telah diarah henti operasi tetapi sejauh mana pesalah tersebut menerima hukuman yang setimpal dan krisis air ini tetap juga berlaku”, ujar beliau lagi.

Turut hadir, ADUN Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz, Pengarah Jabatan Bomba Negeri Selangor, Tuan Zamri bin Che Din serta pegawai-pegawai dari pelbagai agensi yang bekerjasama dalam operasi pengagihan air di sekitar lima kawasan di Semenyih.

 

-DK/AAS

Tinggalkan komen anda