Skip to main content
Berita TempatanSabah

SSPDRM Kini Dilindungi Skim Insurans

By 27 September 2016Tiada komen2 minit bacaan

  Oleh: Zuraidah Ahmad & Lo Teck Loong (Sabah)

KOTA KINABALU, 27 Sept (Malaysiaktif) – Warga Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) kini layak dilindungi skim insurans nyawa dengan jumlah perlindungan maksimum RM150,000.

Menurut Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Khidmat Komuniti, Polis Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner Awang Besar Dullah, selain dapat melindungi diri, insurans berkenaan juga berupaya menaikkan keyakinan diri para anggota terutama ketika menjalankan tugas kepolisian.

Awang turut menggalakkan warga pasukan bantuan itu agar segera memanfaatkan peluang keemasan berkenaan yang tidak dapat dinikmati pasukan polis dan askar.

Paul memeriksa barisan

Paul memeriksa barisan Kawad Komandan

“Perkara ini sangat menarik pada pandangan saya kerana selama ini tidak ada insurans yang mahu memberikan komitmen insurans kepada polis atau pun askar kerana memiliki risiko yang tinggi.

“Saya difahamkan antara keistimewaan insurans ini ialah tembak-menembak dilindungi 24 jam, selain kematian dan hilang upaya kekal akibat kemalangan kenderaan awam, persendirian dan jabatan yang mendapat pampasan sehingga RM150,000.

“Justeru, anggota dan pegawai Sukarelawan Polis harus memanfaatkan kesempatan ini sebagai perlindungan  diri terutama ketika menjalankan tugas serta keluarga mereka.

“Kita tumpang gembira. Perlindungan ini sekurang-kurangnya dapat melindungi elemen-elemen yang membantu polis dalam tugas pencegahan jenayah,” katanya pada Majlis Kawad Komandan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, pada Sabtu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga pasukan sukarelawna itu yang komited membantu melancarkan tugas-tugas polis serta berharap kerjasama serta komitmen tinggi yang ditunjukkan akan berterusan.

Sementara itu, Komandan SSPDRM Kontinjen Sabah, Suprintenden/SP Paul Lajumin yang ditemui pada majlis tersebut menyarankan anggotanya untuk menyertai Persatuan Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (PSSPDRM) yang kini mencapai keanggotaan lebih 20,000 seluruh negara.

Menurutnya, menerusi persatuan itu juga, pelanjutan usia persaraan diselaraskan kepada 58 tahun bagi setiap anggota yang masih sihat telah mendapat kelulusan daripada Ketua Polis Negara.

Sebelum ini, katanya, had usia bersara bagi anggota berpangkat konstabel dan Lans Koperal ialah 47 tahun, Anggota Pangkat Rendah (APR) iaitu Koperal sehingga Sub Inspektor 50 tahun serta pegawai 55 tahun.

Mengulas tentang perkembangan terkini pasukan itu, Paul memberitahu Unit Ronda Basikal Daerah telah ditubuhkan di Kota Kinabalu dan Penampang sambil mennyasarkandua lagi daerah di Pantai Timur iaitu Sandakan dan Tawau untuk membantu rondaan pencegahan jenayah.

-SF

 

Tinggalkan komen anda