Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Tingang Madang Pertahan Warisan Seni Tarian Kaum Kayan

By 27 September 2016Tiada komen4 minit bacaan

 

  Oleh: Luhat Ajang

 KUCHING, 27 Sept (Malaysiaaktif) – Didorong oleh minat dan cinta akan tarian tradisional sejak kecil lagi, sekumpulan wanita yang terdiri daripada lapan orang masyarakat Orang Ulu daripada suku kaum Kayan menubuhkan sebuah kumpulan penari yang dikenali sebagai “Tingang Madang” yang bermaksud Burung Kenyalang Terbang.

Hivan Joh (Tarian Panjang) dalam dialek Kayan ditarikan dengan alunan muzik Sape yang sungguh mengasyikkan. Keayuan dan keasyikan menyaksikan burung Kenyalang mengepakkan sayap di langit tinggi telah menimbulkan idea untuk menamakan kumpulan mereka Tingang Madang seolah – olah burung yang berterbangan bebas.

Mereka diketuai oleh Connie Layun Laing berasal dari Kampung Long Atip, Baram. Uniknya tentang kumpulan ini ialah ahli kumpulannya berasal daripada tujuh buah kampung yang berbeza dalam daerah Baram iaitu Margaret Lahung Mering dari Long Laput, Christina Baun Lahang dari Long Tap, Aren Wan dari Long Bedian, Angela Wan dan Do’ Jau dari Long Bemang, Roslyna Ubung Anyie dari Uma Bawang dan Winnie Luhong Ngo dari Long Panai. Mereka berumur dalam lingkungan 40-an.

Ahli Kumpulan Tingang Madang

Menurut Connie, kumpulan ini telah ditubuhkan pada 13 Mei 2014 setelah memenangi pertandingan Tarian Panjang anjuran Persatuan Kayan Sarawak di Dewan Suarah Miri. Pada tahun yang sama sempena Pesta Regatta Baram di Marudi, kumpulan ini turut muncul sebagai Johan lantas menaikkan lagi semangat ahli kumpulan untuk berlatih dengan lebih giat lagi dan seterusnya mempromosikan tarian tradisional ini.

Sebagai seorang anak suku kaum Kayan, Connie berasa begitu bertuah dan bangga kerana dapat mempelajari dan mewarisi tarian yang dianggapnya begitu sinonim dengan masyarakat Orang Ulu khasnya. Beliau melihat remaja sekarang kurang berminat dengan tarian tradisional ini kerana menurutnya kemungkinan mereka kurang diberi peluang dan pendedahan atau atas sebab kekangan kerjaya masing-masing. Ibu bapa juga harus memainkan peranan penting dalam memupuk minat generasi muda supaya warisan nenek moyang ini tidak hilang ditelan zaman bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Salah seorang pemimpin masyarakat Kayan, Senator Datuk Lihan Jok telah banyak membantu serta memberi peluang mengetengahkan bakat mereka pada masyarakat umum. Lihan telah bertindak selaku penasihat kepada penganjuran program Baram Sape Master Kuala Lumpur (BSMKL 2015) bersama SAO Jeffery Jalong yang merupakan pengerusi penganjur program persembahan di Kuala Lumpur pada 4 hingga 5 September 2015.

Kumpulan ini juga sering mengadakan persembahan pada majlis – majlis keramaian seperti majlis perkahwinan, majlis kebudayaan, majlis rasmi kerajaan dan sebagainya. Setiap tahun mereka telah mengadakan lebih daripada 10 persembahan. Pada 28 Ogos 2016, kumpulan ini telah mengadakan persembahan di majlis perkahwinan yang berlangsung di Brunei Darussalam.

Bergambar kenangan bersama pengantin di Brunei Darussalam

Bergambar kenangan bersama pengantin di Brunei Darussalam

Setakat ini kumpulan penari ini telah mengadakan persembahan di Long Lama, Marudi, Miri, Sibu, Bintulu, Kuala Lumpur dan Brunei Darussalam. Jika diberi kesempatan mereka berhasrat menjelajah bukan sahaja di seluruh negara bahkan di luar negara bagi memartabatkan tarian unik ini.

Salah satu tarian yang dipersembahkan khasnya tradisi sewaktu menyambut tetamu ialah Hivan Sau Kayau. Biasanya mereka akan berbaris panjang di sepanjang laluan utama bagi mengalu – alukan kedatangan tetamu.

Terbaru, kumpulan ini telah mengadakan persembahan sempena Majlis Sambutan Perayaan Hari Jadi ke-80 Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Sarawak pada malam 10 September 2016. Mereka juga turut mengambil bahagian semasa menyambut ketibaan Tun dan kenamaan lain semasa Majlis Jamuan Teh yang telah diadakan di Dewan Suarah Miri keesokan hari.

“Membuat persembahan khas di hadapan TYT merupakan satu penghormatan dan kenangan yang tidak akan dilupakan, lebih-lebih lagi sempena sambutan hari jadi Tun,” ujar Connie.

Biasanya mereka akan mengadakan latihan sekurang-kurangnya dua kali sebelum hari membuat persembahan bagi memastikan tarian mereka sempurna dan memikat hati orang ramai.

Pakaian lengkap seorang penari terdiri daripada kelengkapan seperti Ta’ah (Sarung), Basung (Baju), Bilang Inu (Selendang manik), Iseng Sabau (Anting-anting), Leku (Gelang tangan dan kaki), Tesa (Tali pinggang), Teba’eng Inu (Rantai manik), Kirep (Bulu burung Kenyalang) dan Lavung Se’k (Topi manik).

Set lengkap pakaian seorang penari

Set lengkap pakaian seorang penari

Kesemua kelengkapan tersebut dianggarkan bernilai lebih daripada dua ribu ringgit. Teba’eng Inu adalah yang paling mahal kerana pada zaman dahulu setaraf dengan nilai seorang manusia.

Connie amat berharap dan menyeru generasi muda supaya jangan mudah lupa dengan warisan kebudayaan masyarakat Kayan ini. “Kalau boleh setiap rumah haruslah memiliki kalau tak lengkap sekali pun, memadailah jika salah satu daripada kelengkapan di atas ada dalam simpanan setiap rumah keluarga Kayan,” tambah Connie yang ditemui di rumahnya di Taman Tunku, Miri pada pagi 8 September lalu.

-SF

Tinggalkan komen anda