Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Kukuhkan Jentera Kekang Najis Dadah – Shahrizat

By 1 September 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 1 Sept (Malaysiaaktif) – Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Jalil mendesak pihak berkuasa terutama kerajaan sama ada negeri atau persekutuan agar memperkukuh jentera bagi mengekang masalah najis dadah yang ketika ini dilihat nazak susulan kes amuk baru-baru ini yang menyebabkan tiga sekeluarga dibunuh akibat amuk.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Tahlil tiga mangsa amuk tersebut termasuk Pengerusi Tetap UMNO Tangga Batu, Allahyarhamah Mariah Baharin, suami dan seorang anak lelakinya di Masjid Al-Faizin, Kampung Bertam Malim pada Isnin.

Lebih 100 orang hadir ke majlis tersebut termasuk isteri Ketua Menteri, Datin Seri Fadilah Abdullah dan Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Abu Bakar Mohamad Diah.

Menurut Shahrizat, isu najis dadah yang membelenggu negara sejak sekian lama itu mempengaruhi pembangunan negara, ekonomi, bangsa dan agama.

“Ini adalah satu masalah sosial yang melanda negara kita yang menjejas tamadun orang Melayu. Wanita UMNO kini giat mengambil langkah proaktif dengan memulakan kempen kesedaran bahaya dadah dalam kalangan anak muda khususnya,” ujarnya.

Tambahnya, Wanita UMNO akan mulakan kempen tapi tidak cukup jika hanya mereka yang memainkan peranan. Mereka juga ingin tahu tindakan serius jangka masa panjang oleh kerajaan.

Tan Sri Shahrizat bersama adik bongsu mangsa, Mariati Baharin

Tan Sri Shahrizat bersama adik bongsu mangsa, Mariati Baharin (tengah).

 

Sementara itu, adik bongsu kepada mangsa, Mariati Baharin, 45, terharu dengan perhatian yang diberikan Wanita UMNO terhadap nasib kakaknya sekeluarga serta berterima kasih dengan semua pihak termasuk polis yang komited menjalankan tugas.

“Pihak keluarga berharap agar privasi keluarga tetap dijaga lebih-lebih lagi anak buah saya yang berusaha membina kehidupan baru selepas ini, walaupun ia bukan mudah,” katanya sebak.

Menurutnya, keadaan anak buahnya iaitu Noor Hazlinda Diyana Hassan, 26, dan Nuraqedah Aeina Hassan, 24, dilaporkan stabil di Hospital Melaka.

“Keadaan mereka sudah stabil dan yang di unit rawatan rapi (ICU) juga sudah sedar. Saya mohon semua rakyat doakan kesihatan mereka cepat pulih.

“Bagaimanapun, kami bagi pihak keluarga tidak pernah berdendam dan kami redha dengan kejadian yang menimpa. Kakak pun dah dapat tempat yang lebih baik,” katanya.

Pada Khamis, negara dikejutkan dengan berita tiga sekeluarga, Mariah Bahrin, 61, suaminya, Hassan A. Wahab, 72 dan anak bongsu mereka, Mohd Taufeq, 22, yang maut dikelar oleh anak angkat Mariah sendiri yang berada di bawah pengaruh dadah.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda