Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

RTB Sungai Kesang – Penduduk Diancam Banjir

By 1 September 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh Khairunnisa Abd Rahman

JASIN, 1 Sept (Malaysiaaktif) – Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Kesang yang merupakan sempadan Negeri Melaka dan Johor dilihat tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan.

Kesilapan reka bentuk pembinaan pintasan (bypass channel) yang dianggarkan sepanjang 492 meter ini bakal mengakibatkan banjir besar, khususnya di kawasan Kampung Tasek yang juga terletak lapangan terbang Sungai Rambai.

Projek berharga RM30.89 juta ini sepatutnya siap pada 13 April lalu namun lewat disiapkan dan diberikan lanjutan tempoh sehingga 12 Januari 2017.

Menurut EXCO Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka, Datuk Hasan Abd Rahman, reka bentuk pembinaan pintasan ini bercanggah dengan spesifikasi yang ditetapkan. Sehubungan itu, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Johor diminta membuat pemantauan berkala supaya kontraktor melakukan kerja-kerja membina pintasan ini mengikut peraturan agar penduduk sekitar tidak bimbang diancam banjir.

 

EXCO Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka, Datuk Hasan Abd Rahman

EXCO Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka, Datuk Hasan Abd Rahman ketika ditemui pemberita di Lembangan Sungai Kesang.

 

“Saya telah hubungi wakil JPS Ledang sebentar tadi untuk bercakap berkenaan hal ini dan mereka telah mengarahkan kontraktor berhenti menimbus sungai dan mengeluarkan semula batu-batu dari dalam sungai yang bertujuan menimbus sungai.

“Mereka perlu ingat, sungai Kesang merupakan sempadan Melaka-Johor, maka mereka perlu berunding sama dengan kerajaan Negeri Melaka,” tegas Hasan yang juga merupakan EXCO yang dipertanggungjawabkan terhadap perkara ini.

Tambahnya, JPS Ledang perlu sentiasa bekerjasama dengan JPS Jasin bagi membuat pemantauan kerana aliran Sungai Kesang ini melibatkan Jasin pantai dan darat.

“Melihat kepada reka bentuk sedia ada, kita tak pasti pintasan ini dapat menyelesaikan masalah banjir sebab pintasan yang dibina itu tidak terus menuju ke laut sebaliknya masuk semula ke sungai lama.

4

“Kita minta pihak JPS Ledang untuk mengkaji semula reka bentuk pintasan tersebut mengikut fasa demi fasa. Kita harap kerjasama yang baik daripada JPS Ledang untuk berbincang dengan kerajaan negeri Melaka.

“Saya tiada masalah untuk berunding, pintu perundingan sentiasa terbuka, saya hanya mahukan kebaikan untuk rakyat Melaka dan Johor,” katanya ketika sidang media pada lewat petang Selasa.

Sementara itu, penceramah bebas, Dr. Jasmi Ahmad pula berpendapat bahawa kerja-kerja menimbus sungai ini menyalahi peraturan.

“Pembinaan ini dilihat bertujuan membina laluan atau jalan pintas untuk memudahkan traktor dan lori melalui jalan itu tanpa menghiraukan isu masyarakat kampung bakal ditenggelami air,” ujar Jasmi.

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda