
Laporan dan Foto oleh Mohd Zaid Awang
GOMBAK, 8 Sep (Malaysiaaktif) – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mensasarkan seramai 10 ribu profesional keselamatan siber menjelang tahun 2020 sebagai pemangkin tenaga sumber manusia untuk mempertahankan organisasi daripada serangan siber.
Demikian menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau selepas melancarkan Makmal Cyber Range Malaysia di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebentar tadi.
Menurut beliau, Cyber Range Malaysia merupakan satu platform maya yang digunakan untuk pembangunan teknologi siber dan latihan berkaitan serangan siber membolehkan banyak organisasi menggunakan kemudahan canggih bagi tujuan simulasi serangan siber.
“Melalui Makmal Cyber Range Malaysia ini, kita harap akan lebih ramai yang akan menyertai profesion ini, pada masa yang sama membolehkan professional keselamatan siber meningkatkan kemahiran mereka dan berada selangkah ke hadapan dalam lanskap keselamatan siber yang sentiasa berkembang”, ujar beliau.
Tambah Madius, Cyber Range Malaysia dibangunkan melalui koloborasi awam-swasta di antara CyberSecurity Malaysia, UIAM dan Cyber Intelligence Sdn Bhd.
“Cyber Range Malaysia menggunakan teknologi yang sama dengan persekitaran siber terbesar di seluruh dunia seperti US Defense Advanced Research Projects Agency National Range”, katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dr Amirudin Abdul Wahab memaklumkan Makmal Cyber Range Malaysia telah beroperasi sepenuhnya sejak tiga bulan lalu dan kini terdapat lebih kurang 40 orang yang sedang mengikuti latihan daripada Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan UIAM.
“Malware, spyware, penipuan, pencerobohan maklumat dan mengodam laman sesawang adalah antara bentuk serangan siber dan semua pihak perlu peka dengan situasi ini kerana sekiranya berlaku ia boleh membawa kerugian, mengugat keselamatan serta kebocoran maklumat yang serius”, ujar beliau.
Tambahnya, terdapat 36 ribu malware yang wujud dan ia menjadi senjata di alam maya sekarang yang digunakan untuk tujuan yang tidak baik.