Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangorViral

Tinggalkan Hasil Jenayah Untuk Jadi Manusia – Pesalah Dadah

By 8 September 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan dan Foto oleh Syed Fauzi Syd Mostapa (Putrajaya)

SEPANG, 8 Sept (Malaysiaaktif) – “Ketika saya berusia 22 tahun, dalam sebulan dapat kumpul sebanyak RM13,000 hasil jualan pil kuda dan ‘ice’. Selama dua tahun itu, saya tak pernah hisap. Saya hanya jual kepada gadis Siam yang bekerja di kelab malam.

“Ketika itu, ada orang pesan kepada saya supaya berhenti jual dadah itu. Kemudian, kawan yang tolong berniaga itu memang ambil, jadi saya terikut sebab ingin mencuba selain selalu lepak dengan dia.

“Apabila dah ketagih, penjualan saya kiranya mula tidak mendatangkan apa-apa keuntungan. Saya datang ke sini untuk mengubah cara hidup saya.

Demikian pengakuan Koh Guan Chai, 26 yang hadir secara sukarela sebagai pelatih di Pusat Pembangunan Kerjaya, Cure and Care (CCVC) Sepang.

CCVC merupakan institusi latihan yang menyediakan latihan kemahiran vokasional kepada pelatih yang berada pada fasa akhir rawatan dan pemulihan penagihan dadah di seluruh Malaysia.

Selama enam bulan Guam Chai dilatih dalam bidang automotif sebagai persediaan untuk bekerja pada masa akan datang.

“Pada pagi hari saya banyak belajar teori, petang pula tentang enjin untuk memahirkan diri dalam bidang automotif. Program ini berlangsung selama enam bulan dan selepas ini saya bercadang nak cari kerja dan berkahwin,” ujarnya lagi.

Guam Chai ditemui ketika program Jom Cari Kerja anjuran Unit Vokasional Pusat Pembangunan Kerjaya, Cure & Care Vocational Centre (CCVC) Sepang pagi tadi.

Menurut Pengarah CCVC Sepang, Ibrahim Bujang seramai 90 pelatih yang telah mengikuti latihan selama enam bulan dalam bidang automotif, elektrik, landskap, senibina, pastri, jahitan, kimpalan dan penyelenggaraan akan ditemu duga oleh tujuh syarikat tempatan.

“Kita cuba dedahkan kepada pelatih ini peluang kerjaya yang ada dan setelah tamat latihan pada 23 September ini mereka akan diberikan Sijil Kemahiran Malaysia. Sehingga kini lebih 70 peratus bekas pelatih kami berjaya mendapatkan pekerjaan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, bagi Pengurus Kilang Ideal Mega Apparel Mohd Fairuz Mohd Dris pesalah dadah wajar diberikan peluang kerjaya seperti peluang yang diberikan kepada pekerja luar.

“Kalau kita nak banding mereka ini dengan orang luar kita patut lebih risaukan pekerja luar. Mereka ini datang dan pergi begitu sahaja.

“Berbanding dengan pesalah dadah, bagaimana kita nak kawal mereka ini sahaja isunya. Jika kita nak pantau sepenuhnya memang mustahil namun saya percaya semuanya berbalik kepada majikan. Majikan sepatutnya perlu menjadi lebih mesra kepada mereka. Pasti setiap masalah boleh dielak.

“Menerusi program CCVC hari ini, kami bercadang untuk mengambil 10 tukang jahit. Mereka yang terpilih berpeluang mendapat kerja dan pengalaman. Jika mereka dah boleh berdiri atas kaki sendiri, kita bantu mereka untuk menjadi usahawan. Kita cuba dapatkan tempat serta bantu mereka dari segi modal. Jadi kerjasama ini boleh berterusan.

“Kita juga beri pilihan kepada mereka untuk gaji pokok bulanan selain komisyen dengan berapa banyak pula hasil kerja mereka. Banyak kontrak dengan syarikat besar seperti Jakel. Dengan gaji pokok RM1000, mereka ini boleh dapat lebih sebenarnya jika rajin,” ujarnya yang turut hadir bersama abangnya Pemilik Ideal Mega Apparel Mohd Hafez Mohd Dris.

 

-DK/AAS

 

Tinggalkan komen anda