Skip to main content
Berita TempatanSabah

Semai Budaya Hormat, Bantu Jana Pendapatan

By 19 September 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 

Oleh Muhammad Khairul Azad Yunus (Sabah)

TUARAN, SABAH, 18 September (Malaysiaktif) – Tiada yang lebih mengembirakan hati dan memuaskan perasaan apabila dapat menghiburkan hati golongan kurang upaya sambil membantu menjana pendapatan golongan terbabit.

Jesseca Dunis.

Kehadiran Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Sabah bersama 50 sukarelawan iM4U dari Institut Perguruan Kent Tuaran ke Pusat Orang Buta di Tuaran, telah menyemai budaya hormat-menghormati bersama penghuni di pusat terbabit.

Peserta bukan sahaja dapat menghiburkan hati para penghuni malah turut meluangkan masa menanam sebanyak 100 batang pokok pisang dan sayur organik sebagai usaha membantu menjana pendapatan golongan terbabit.

Sukarelawan, Jesseca Dunis, 22, dari Kota Kinabalu berkata beliau dapat menggunakan kemahiran bertani yang telah dipelajari.

“Saya selalu bertani di kampung dan hari ini saya dapat kemahiran untuk membantu warga Pusat Orang Buta.

“Kami harap semua pisang dan sayuran organik yang kami tanam hidup subur bagi menambah sumber pendapatan mereka,” jelasnya.

Pelatih dari Kelantan, Mohd Sukri Ab Rahim, 20, merasa seronok apabila pertama kali menyertai program yang melibatkan masyarakat tempatan.

Mohd Sukri Ab Rahim

“Saya rasa seronok dapat bergaul dengan masyarakat di sini dan pendedahan ini baik untuk kami melibatkan diri dalam program kebajikan.

“Program ini dapat membentuk jati diri dan sesuai dengan profesion perguruan yang bukan sahaja terikat dengan aktiviti di dalam kelas, tetapi juga kegiatan luar,” ujarnya.

Mereka berharap program seumpama akan diadakan secara berkala dan melibatkan golongan belia demi melahirkan masyarakat perihatin.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah merangkap Penasihat Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman berkata budaya tersebut diserapkan dalam Program Menanam Anak Pokok Pisang dan Sayur Organik oleh persatuan itu dengan kerjasama Sukarelawan 1M4U.

“Kita yakin program yang bercirikan nilai-nilai murni ini mampu menimbulkan kesedaran agar sentiasa bersyukur dan saling bantu-membantu dalam kehidupan,” katanya semasa merasmikan Majlis Penutupan Program tersebut di Bengkel Wallace (Pusat Orang Buta) Tuaran pada Sabtu.

Program tersebut juga bertujuan membantu warga pusat itu menjana pendapatan melalui hasil penjualan tanaman berkenaan dalam jangka masa panjang.

Turut hadir Pengerusi PUSPANITA Cawangan Sabah, Puan Sri Hairani Hussaini; Pengerusi Pelaksana Program, Datuk Noni J.Said dan Presiden Pertubuhan Bagi Orang-Orang Buta Sabah, Datuk Rosalind Chew.

6-img_1983

Sukarti (kiri) meluangkan masa bertanya khabar salah seorang penghuni Pusat Orang Buta Tuaran.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda