Laporan dan foto oleh : Mohamad Zairin Bin Mohamad Zin
SHAH ALAM, 26 Okt (Malaysiaaktif) – “Saya ingatkan kepada mana-mana masyarakat di luar sana, janganlah kita menyalahgunakan kemudahan akses internet dan juga media sosial dengan menyebarkan maklumat-maklumat yang tidak sahih”.
Demikian tegas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari dalam sidang media Perasmian Penutupan Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2016 bertempat di Intekma Resort & Convention Centre, Shah Alam, di sini, semalam.
Beliau mengulangi apa yang ditekankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkenaan ‘fiqh tabayyun’.
“Apabila kita bercakap tentang ‘fiqh tabayyun’, mereka harus meneliti sesuatu maklumat dan berita tanpa terus membuat kesimpulan sama ada berita itu sahih atau tidak,” ujar Jailani.
Tambah beliau, “Kebanyakan pengguna di luar sana lebih mempercayai maklumat yang diperoleh daripada internet dan bahayanya apabila disalahviralkan, kita khuatir ia akan membawa musibah kepada penerima”.
“Sekiranya kami di pihak kementerian menerima laporan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), akan mengambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia ataupun mana-mana akta yang berkaitan mengenai fitnah,” tegas Jailani lagi.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah memuatnaik mana-mana maklumat bagi tujuan untuk masyhur atau terkenal sedangkan maklumat itu tidak betul. Masyarakat juga haruslah berhati-hati dalam mendapatkan maklumat yang tepat sebelum membuat apa-apa kesimpulan.
“Saya berharap dengan adanya program wasatiyyah yang bertepatan di zaman sekarang ini boleh memberi pendedahan kepada masyarakat di luar sana bahawa ancaman ini adalah di media sosial,” kata beliau lagi.
-DK