Oleh Fauzrina Hj Bulka / Foto Oleh: KAYM
MELAKA, 25 Okt (Malaysiaaktif) – Kursus dalam bidang lokomotif yang pertama di Malaysia akan beroperasi sepenuhnya di kampus induk Kolej Yayasan Antarabangsa Melaka (KAYM) dengan pengambilan pelajar pertama akan dibuat pada awal tahun 2017.
Menurut Ketua Eksekutif KAYM, Datuk Saroni Judi, KAYM adalah peneraju bagi program latihan dan keselamatan rel yang pertama di Malaysia berkonsepkan latihan berbentuk teknikal, servis dan pengurusan bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir khususnya dalam industri lokomotif negara.
Justeru, sebuah Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) ditandatangani antara KAYM melalui anak syarikatnya, KYM Stes bersama KAT Professional Rail Training & Certification (KatProRail) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Tomin Salikan semalam di sini.
Menurut Saroni, MoU yang ditandatangani mengambil kira keperluan tenaga kerja mahir dalam bidang lokomotif di masa hadapan. Maka, KYM Stes dan KatProRail mengambil peluang ini untuk menubuhkan sebuah Institut Teknologi Lokomotif Malaysia yang dinamakan sebagai i-Rail.
“i-Rail membawa satu pendekatan baru dalam industri latihan berteraskan kemahiran, dan bakal menjanjikan peluang latihan serta laluan pekerjaan yang baru khususnya dalam bidang teknologi lokomotif serta menyasarkan jumlah tenaga kerja yang akan dilahirkan adalah mencukupi,” jelasnya.
Selain itu, usaha sama yang dijalinkan menyediakan satu landasan kolaborasi dan implementasi guna sama kemudahan sedia ada serta menggunakan tenaga pakar di antara KYM Stes dan KatProRail.
Katanya lagi, i-Rail bakal menawarkan pelbagai persijilan antaranya persijilan profesional antarabangsa seperti Erata:Certification In Rail Safety (Australia), Logic Control Program (Germany) dan Welding (ASNT/NDT) (Amerika Syarikat).
Selain itu, persijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) juga akan dilaksanakan khususnya dalam bidang kejuruteraan rel seperti rangkaian trek, kejuruteraan armada, sistem pembekalan elektrik, laluan kekal dan sebagainya.
“Kerjasama strategik ini dirasakan tepat pada masanya seiring dengan perkembangan pesat kini terutamanya pembangunan Light Rail Transit (LRT3), Mass Rapid Transit (MRT2) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Singapura-Kuala Lumpur dalam industri rel di Malaysia,” ujarnya.
Bagi mencapai rancangan ini, i-Rail bakal melatih tenaga kerja yang mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam industri rel dengan anggaran lebih dari 3,000 pekerja mahir dan separa mahir yang diperlukan setiap tahun untuk memenuhi kehendak industri.
“Jalinan perkongsian pintar ini akan meningkatkan peluang latihan dengan menyediakan pelatih-pelatih baru serta personel-personel rel sedia ada dengan kelayakan profesional mengikut standard antarabangsa,” katanya.