![](https://malaysiaaktif.my/wp-content/uploads/2016/10/WhatsApp-Image-2016-10-19-at-12.04.png)
Laporan dan Foto oleh : Herman Hamid (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Malaysiaakiktif) – “Hasil sumbangan orang ramai bernilai lebih kurang RM300 ribu dan tuntutan pampasan insurans sebanyak RM50 ribu telah diseleweng oleh pihak yang tidak bertanggungjawab”.
Demikian menurut Yusnida Husain, 48, ibu saudara sebelah ayah kepada kedua anak yatim Nur Firuza Amira Fairuz Nizam (Amira), 8, dan Nur Firuza Aqila Fairuz Nizam (Aqila), 5, yang kehilangan kedua ibu bapa akibat nahas jalan raya di Lebuhraya Duta Ulu Kelang (DUKE), Mei tahun lalu.
Beliau membuat dakwaan dalam sidang media yang diadakan di Padi Seafood, Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru, di sini semalam.
Insiden kemalangan tersebut telah menyebabkan kematian pasangan suami isteri, Fairuz Nizam Husain dan Nova Safitri Azhari serta anak bongsu mereka, Nur Firuza Annisa, tujuh bulan meninggalkan dua anak mereka, Amira dan Aqila.
Menurut Yusnidah, selepas kemalangan tersebut, Amira dan Aqila tinggal di bawah jagaan beliau hingga kini. Beberapa bulan kemudian, timbul beberapa isu berkaitan hak penjagaan yang turut dibantah oleh ahli keluarga termasuk wang sumbangan orang ramai yang disimpan oleh keluarga terdekat.
Beliau mendakwa kesemua wang tersebut tidak digunakan bagi kelangsungan hidup anak-anak saudara kandung beliau dan menyeru kepada orang ramai yang telah memberi sumbangan agar membuat laporan polis kerana mendakwa wang sumbangan tersebut telah diseleweng oleh keluarga belah ibu mangsa.
Beliau mendakwa sumbangan yang diperoleh melalui hebahan di media sosial dan akhbar-akhbar tempatan telah diseleweng oleh keluarga belah ibu mangsa yang masing-masing mempunyai agenda tersendiri untuk kepentingan peribadi.
“Wang yang diperoleh hasil sumbangan orang ramai telah dimasukkan terus ke akaun ahli keluarga terdekat dan diakui oleh mereka sendiri tetapi tidak diserahkan kepada saya untuk kegunaan Amira dan Aqila”, ujar Yusnidah.
Tambahnya, “Wang dalam simpanan Amira dan Aqila juga telah digunakan sewenang-wenangnya tanpa sebarang alasan yang munasabah walaupun mereka tidak pernah menjaga langsung anak yatim piatu ini”.
Sementara itu, di Mahkamah Tinggi Syariah, terdapat dua kes yang masih dalam perbicaraan termasuk hak penjagaan Amira dan Aqila dan kes tuntutan nafkah kepada ahli keluarga terdekat yang menerima dan menyimpan hasil sumbangan orang ramai selepas kejadian kemalangan maut tersebut.
“Sidang media ini diadakan bagi memberikan hak yang sepatutnya diterima oleh anak-anak yatim piatu ini dan bukannya sebagai ruang bagi memperolehi sumbangan dari orang ramai”, jelasnya lagi.
Yusnidah turut memaklumkan, badan bukan Kerajaan (NGO) tempatan iaitu Angkatan Perpaduan Islam (API) dan artis AFS pictures akan turun padang membantu membuat siri jelajah di kebanyakan kompleks membeli belah seluruh negara bagi membantu menerangkan kepada masyarakat tentang isu yang terjadi kepada adik Amira dan Aqila yang tidak di ketahui umum selama ini.