Skip to main content
Berita TempatanSabah

Baju “Bundle” Semakin Menjadi Pilihan di Sabah

By 19 Oktober 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

  Oleh: Malina Jamarin (Sabah)

KOTA KINABALU, 18 Okt (Malaysiaktif) – Kedai pakaian “bundle” tau pakaian terpakai semakin digemari masyarakat setempat, kewujudannya umpama cendawan tumbuh selepas hujan di sekitar Kota Kinabalu.

Situasi ini dikatakan berkait rapat dengan kos hidup yang tinggi menyebabkan ramai pembeli melihat bundle sebagai alternatif jimat untuk memiliki pakaian berjenama, murah tapi bergaya.

Antara lokasi kedai bundle yang sering dikunjungi dan mendapat tempat di hati pembeli atau penggemar ‘bundle’ adalah di pasar malam Kampung Air Kota Kinabalu, Kedai Bundle Nain Likas, Kedai Bundle Jaszleen Putrajaya Telipok, Kedai Bundle Terminal Bas Inanam serta gerai pakaian bundle pasar malam Inanam.

Peniaga bundle, Suryanti, 35, berkata pendapatan sebagai peniaga bundle bergantung kepada keadaan, masa mahu pun lokasi berniaga.

 

“Sudah lima tahun saya mengusahakan perniagaan pakaian bundle ini di pekan Inanam, semakin hari semakin banyak persaingan baharu.

bandel3

Kepelbagaian pilihan pakaian bundle

“Tapi yang lebih penting kena sabar dan perlu usaha dengan lebih gigih jika mahu pendapatan yang lebih. Kita tidak boleh berada di tempat yang sama, perlu bergerak dari sebuah tamu ke tamu lain,” katanya semasa ditemui Malaysiaaktif pada Ahad.

Katanya lagi, ada ketikanya berniaga di tamu banyak memberikan hasil tetapi perlu awal untuk buat persiapan gerai, memunggah, menyusun dan yang penting kena sabar.

Pengunjung yang datang ke kedai bundle sentiasa bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain untuk mencari pakaian yang diminati.

Harga yang ditawarkan lebih berpatutan iaitu daripada RM5 ke RM10 untuk tiga helai pakaian  kanak-kanak, manakala pakaian lelaki dewasa seperti baju berjenama secara purata harga daripada RM10 ke RM25 seperti jenama Levis, Polo, Adidas, Lacoste, dan Nike.

Pakaian bundle dari Korea dan Jepun dikatakan lebih menjadi pilihan para peniaga bundle kerana sering mendapat permintaan tinggi terutama sekali pakaian kanak-kanak.

Sementara itu, seorang lagi peniaga bandle, Hajah Rashimah Mohd berkata permintaan tinggi terhadap baju kanak-kanak dari Korea dan Jepun kerana saiznya yang sesuai dengan kanak-kanak di Malaysia menyebabkan terdapat peningkatan permintaan terhadap baju-baju berkenaan.

bandel4

Pakaian bundle yang dibeli dalam karung

Sebagai peniaga bundle, cabaran tetap ada, seorang peniaga yang ingin dikenali sebagai boy, 45, berkata berniaga bundle kena berani gagal atau ‘main nasib’.

“Ini kerana peniaga akan membeli barangan niaga secara borong dengan harga RM1300 hingga RM1500, kalau bernasib baik dapat pakaian baru, berjenama dan cantik begitu juga sebaliknya. Selalunya bundle yang berharga RM1500 merupakan jenis pakaian seperti baju-T.

“Terdapat juga pelanggan yang meminta harga lebih rendah daripada harga beli, tapi untuk tidak menghampakan pelanggan kami akur dengan tawaran. Yang penting pelanggan berasa puas dan pasti akan kembali semula.

Peningkatan peniaga bundle ini turut diakui seorang peniaga pakaian kecil-kecilan, Pijan Ahmad, 38, berkata beliau terpaksa bersaing dan terus bertahan dengan harga yang ditawarkan.

“Terdapat perubahan harga sebelum dan selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), mungkin ini juga menyebabkan ramai pembeli gemar memilih pakaian di bundle berbanding di kedai pakaian yang menjual pakaian baharu,” jelasnya.

Pijan yang berniaga dari pasar ke pasar malam lain serta tamu mingguan menyatakan sememangnya dia tidak ketinggalan berniaga di pesta jualan seperti di Regatta Lepa, Tamu Besar Kota Belud, Pesta Bengkoka, Pesta Jagung kerana pendapatan agak lumayan.

-SF

Tinggalkan komen anda