Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj Bulka
MELAKA, 17 Okt (Malaysiaaktif) – Prihatin dengan minat anaknya mendorong seorang penjawat awam, Norliza Mohamad, 38, untuk menghantar anak keduanya ke Kem Bakat Badminton yang dijalankan di Kompleks Belia dan Sukan di Ayer Keroh, di sini.
Norliza yang berasal dari Tanjung Minyak berkata anaknya menunjukkan minat dalam sukan badminton sejak awal lagi dan minat itu disokong seisi keluarga dengan harapan anaknya dapat pergi jauh dan mewakili negara suatu hari nanti.
“Kami bantu untuk memupuk apa sahaja minatnya. Dia lebih cenderung kepada badminton dan apabila dapat tahu legenda negara kita yang bakal melatih mereka, kami semua semakin teruja,” katanya ketika ditemui oleh Malaysiaaktif, semalam.
Seramai 62 peserta berumur di bawah 12 tahun menyertai Kem Bakat Badminton yang merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Kelab Badminton Nusa Mahsuri yang diketuai oleh Datuk Dr. Misbun Sidek.
Program yang bermula selama tiga hari bermula Jumaat lepas adalah berbentuk klinik latihan dan juga merupakan medium bagi pencarian bakat-bakat baru dalam sukan badminton di peringkat akar umbi.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Mohd. Fauzi Ariffin menyifatkan program tersebut berjaya mendapat sambutan yang menggalakkan dan akan terus diadakan sepanjang tahun.
“Lanjutan daripada kem ini, kita akan adakan pertandingan di peringkat kebangsaan pula yang dijangka diadakan pada hujung November. Kita akan membawa 10 peserta setiap negeri yang akan dipilih berdasarkan penilaian yang dijalankan melalui pertandingan dalaman,” katanya.
Menurutnya, pencapaian cemerlang atlet Malaysia dalam Sukan Olimpik yang berlangsung baru-baru ini menarik minat ibu bapa yang menyaksikan sejarah terukir dengan empat pingat perak yang dibawa balik oleh atlet, tiga daripadanya digondol oleh pemain badminton.
“Jelas sukan badminton bukan sahaja sebagai satu pencarian bakat tetapi juga sebagai satu profesion, apatah lagi pemenang pingat perak menerima insentif sebanyak RM500 ribu,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Seri Jalani Sidek berkata insentif yang diterima pemain sekarang adalah lebih besar berbanding zaman beliau mewakili negara ke Sukan Olimpik 1992 di Barcelona bersama Razif dan berjaya membawa pulang pingat gangsa.
“Semasa kami ke Olimpik, kami hanya dapat RM25 ribu, jauh berbeza jika dibandingkan dengan sekarang kerana zaman pun jauh berbeza, namun sebagai atlet kita merasa bangga kerana perjuangan dan pengorbanan kita dihargai,” katanya.
-DZ