Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Perlu Modul Baru Cari Pengganti Chong Wei – Misbun

By 17 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Gambar utama: Bernama

 Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 17 Okt (Malaysiaaktif) – “Galas untuk saja-saja menyertai pertandingan, siapa-siapa pun boleh, tetapi untuk menjadi macam Chong Wei, yang boleh menang juara berganda, keunggulan dia, nombor satu dunia selama lima tahun, itu tidak boleh.”

Bekas jurulatih badminton negara, Datuk Misbun Sidek berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Kem Bakat Badminton Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Peringkat Negeri Melaka 2016 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Melaka, di sini, semalam.

“Apa yang kita perlu sangat dalam satu program pembangunan, jurulatih yang dipilih harus menggalas tugas itu, tidak kisah jika jurulatih daripada luar, tapi harus berikan latihan teknikal seterusnya melatih pemain kita dan jadikan mereka juara, itu baru betul,” katanya.

dari-kiri-jalani-pengarah-kbs-dan-misbun

Dari kiri: Datuk Seri Jalani Sidek, Pengarah KBS Melaka, Mohd. Fauzi Ariffin dan Datuk Misbun Sidek.

 

Menurutnya, Morten Frost (Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia [BAM]) harus tahu apa yang perlu dilakukan untuk menggilap bakat baharu pemain badminton negara.

Tambahnya lagi, Frost sepatutnya melatih pemain dan beri tunjuk ajar melalui  sistem, program dan modul tertentu kerana itu yang sebenarnya yang diinginkan.

“Itu sebenarnya yang kita dahagakan kerana daripada dahulu yang kita hendak ialah mencari pengganti Chong Wei. Inilah dia, sesuatu input modul baharu yang dapat mengatasi negara-negara lain,” ujar Misbun.

Katanya, kontrak jurulatih yang ada dengan tempoh hanya dua tahun tidak boleh membina persediaan pemain secara spesifik kerana ianya haruslah satu program jangka panjang.

“Di negara China misalnya, mereka begitu serius dalam soal pembangunan modal insan bagi sukan badminton untuk jangka masa panjang. Tiada kompromi dalam soal menggilap bakat. Negara China kini berjaya melahirkan sejumlah besar bakat baharu yang berpotensi besar mendominasi kejohanan bertaraf dunia,” katanya.

Jelasnya, untuk mencari pengganti kepada jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei amat sukar dan mungkin mengambil masa 10 hingga 15 tahun akan datang.

“Chong Wei dilatih untuk jadi macam Chong Wei sekarang, jadi oleh kerana asasnya terlalu kuat, lima tahun lagi pun dia masih tetap jadi nombor satu,” ujar Misbun.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda