Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

“Langkau” Meriahkan Pesta Benak Sri Aman

By 27 Oktober 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

 Oleh Luhat Ajang

KUCHING, 27 Okt (Malaysiaaktif) – Memasuki edisi ke-14, Pesta Benak di sini berjaya menarik ramai pengunjung setempat dan dari kawasan-kawasan lain ke Sri Aman yang terkenal dengan legenda buaya Bujang Senang dan fenomena Benak Sungai Batang Lupar bagi memeriahkan suasana.

Keterujaan untuk menyaksikan acara tersebut membuatkan Mat ak Basat, 56, dan isterinya, Seah Ak Ajong bertungkus-lumus membuat persediaan baik dari segi bot mahu pun pondok yang dikenali dengan nama ‘langkau’ sebagai tempat mereka tinggal sepanjang tiga hari bermula 14 hingga 16 Oktober 2016 lalu.

Mat bersama piala yang dimenangi

Mat bersama piala yang dimenangi

 

Bagi pasangan yang berasal dari Rh Francis Jua, Kaong Skrang dalam daerah kecil Engkilili ini mereka biasanya datang seminggu lebih awal ke Sri Aman dengan menaiki bot untuk mendirikan langkau yang digunakan sebagai kediaman sementara mereka.

“Saya membelanjakan RM200 untuk membina sebuah langkau yang sederhana besar. Kami memang meminati acara ini sejak kecil lagi. Kami telah 10 kali mengambil bahagian dalam pesta sebegini. Saya juga sempat menyuarakan hasrat agar wakil rakyat mahu pun pihak berwajib membantu golongan nelayan dengan bantuan peralatan seperti bot, pukat, enjin dan sebagainya,” ujar mereka yang bekerja sebagai nelayan dan petani itu setelah ditemui Malaysiaaktif selepas acara berkahir.

Tinjauan sekitar tebingan Sungai Batang Lupar mendapati beberapa buah langkau turut didirikan oleh penduduk yang tinggal di hulu dan hilir sungai tersebut. Beberapa orang yang ditemui memberitahu mereka seronok berkumpul dengan rakan-rakan serta saudara mara sambil menyaksikan acara kemuncak lumba perahu.

Antara langkau yang didirikan

Antara langkau yang didirikan

 

Ada juga pemilik langkau yang  mengambil peluang menjual makanan dan minuman di hadapan langkau mereka. Tandas awam yang terletak tidak jauh dari langkau ini turut memberikan kemudahan kepada mereka.

Dalam pada itu, mereka juga teruja dengan rancangan pembinaan jambatan Sungai Batang Lupar,  seperti yang diuar-uarkan sebelum ini. Jambatan tersebut akan dapat menghubungkan penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Batang Lupar.

Pesara kerajaan, Ibrahim Pawi,  63, dari Kampung Hulu, Sri Aman pula berkata dia telah beberapa kali mengambil bahagian dalam acara lumba perahu.

Ibrahim (tengah) berharap agar banyak lagi pondok seperti ini didirikan untuk kemudahan pengunjung.

Ibrahim (tengah) berharap agar banyak lagi pondok seperti ini didirikan untuk
kemudahan pengunjung.

 

“Penat lelah akan hilang dengan sendirinya tatkala menang. Memandangkan usia yang telah lanjut kini saya hanya menjadi penonton. Berkenaan pondok-pondok sementara yang didirikan, saya menyerahkannya kepada pihak berkuasa tempatan. Pada saya yang penting ialah kebersihan mestilah dijaga untuk keselesaan semua pihak.

“Saya juga berharap agar pihak pihak berkuasa tempatan mendirikan lebih banyak pondok kekal pada masa akan datang untuk kegunaan pengunjung mahu pun penduduk tempatan meluangkan masa bersama keluarga sambil menikmati keindahan benak yang merupakan salah satu tarikan pelancongan ke bandar Sri Aman,” jelasnya lagi.

Sementara itu, bagi Jamaliah Hamid, 57 dari Kulim, Kedah yang  bersuamikan orang Sarikei berkata mereka sanggup meluangkan masa singgah sebentar di Sri Aman untuk menyaksikan fenomena Benak yang sering didengar melalui media selama ini. Dia dan suami dalam perjalanan dari Kuching ke Sibu singgah  sebentar di bandar Sri Aman.

“Kami pernah melawat hampir keseluruhan bahagian di Sarawak. Saya begitu tertarik untuk menyaksikan sendiri fenomena benak. Saya juga sempat mengunjungi beberapa buah gerai di sekitar tapak Pesta Benak yang menyajikan makanan, seperti Lemantak (Tepung sagu dicampur hati pari dan sebagainya) yang sangat sedap kerana di tempat kelahiran saya tiada makanan seperti ini.

Langkau-langkau yang didirikan sempena Pesta Benak ini dirobohkan sebaik sahaja selesai semua acara.

 

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda