Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj Bulka
MELAKA, 14 Okt (Malaysiaaktif) – MyCCskills, sebuah pertandingan berbentuk kemahiran anjuran Bahagian Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti (JPKK) tahun ini menyaksikan tujuh buah kolej komuniti (KK) seluruh negara bertanding.
Kolej Komuniti Bukit Beruang Melaka (KKBBM) muncul juara dan naib juara dalam pertandingan MyCCskills dalam kategori bidang Servis Restoran (Restaurant Service) yang diadakan pada Rabu di Melaka International Bowling Centre, Ayer Keroh, di sini.
Menurut juara MyCCskills, Tan Chew Ping sebenarnya dia berasa sedih ketika mempamerkan hasil kerjanya kerana mocktail (sejenis minuman tidak beralkohol) yang disediakannya tertumpah sedikit dan itu mungkin menjejaskan permarkahannya oleh juri.
“Namun begitu, saya masih positif dan mengharapkan agar dapat kedudukan yang baik pada hari ini,” katanya yang merupakan pelajar semester dua Sijil Operasi Perhotelan di KKBBM.
Menurut pelatih Chew Ping, Nazuha Mohd Zahari, para pensyarah akan membantu peserta termasuk naib juara, Nurul Ain Aqila Zainal untuk menghasilkan karya mereka termasuk dari segi keterampilan dan persembahan.
“Seperti Chew Ping, dia perlu membuat mocktail berasaskan buah-buahan manakala Nurul Ain pula berasaskan herba, jadi kami akan bantu mereka dan bertukar pendapat untuk mendapat hasil yang memuaskan,” jelasnya.
Kata Nazuha, dia bersyukur kerana peserta Melaka berjaya melakukan tugasan dengan baik untuk lapan tugasan yang perlu dilakukan dan di waktu yang sama mengikut segala nasihat yang diberikan.
Keseluruhan pemarkahan diperoleh dengan melakukan lapan tugasan bermula hari pertama program pada 10 Oktober iaitu Table Boxing, Napkin Folding, Table Setting, Fruit Preparation, Site Table Preparation, Beverage Services untuk air mineral dan berkarbonat serta Mixology iaitu membuat mocktail.
Menurut Pengarah KKBBM, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA), Jamalluddin Mohd Ali, para peserta diuji dari aspek kemahiran teori, praktikal dan soft skills melalui lapan tugasan yang diberikan melibatkan permarkahan penilaian berdasarkan hasil produk, kualiti produk, keselamatan dan kebersihan.
Mengulas lanjut, Jamaluddin berkata MyCCskills merupakan satu platform untuk memilih peserta yang berpotensi mewakili JPKK untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi seperti Worldskills Malaysia Belia dan seterusnya ke peringkat Asia dan antarabangsa.
Perkara tersebut turut diakui oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Pelajar JPKK, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Wan Mohd Nasir Wan Abdul Rahman yang hadir merasmikan program tersebut.
“Dengan menyertai pertandingan-pertandingan kemahiran yang dianjurkan di peringkat antarabangsa juga dapat membuka peluang persaingan sihat dengan negara-negara maju,” ujarnya.
Tambahnya, sikap inovatif dan kreatif serta sentiasa mengemas kini kemahiran yang ada di pasaran membolehkan organisasi menghasilkan sesuatu yang mampu bersaing di pasaran global dan seterusnya membantu mengukuhkan kebolehpasaran graduan.
Enam KK lain yang bertanding ialah KK Sungai Petani, KK Chenderoh, KK Selayang, KK Langkawi, KK Kuantan dan KK Rompin melibatkan 14 orang pelajar dengan setiap kolej diwakili oleh dua orang pelajar.
-DZ