Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj Bulka
JASIN, 17 Okt (Malaysiaaktif) – Sekeping resit yang dikeluarkan oleh sebuah pusat perubatan, Pusat Perubatan Islam Darul Rizqi Melaka yang terletak di Taman Serkam Ria, Merlimau menjadi viral di laman sosial Facebook berikutan pemilik akaun Sholehin Seven mendakwa ditipu dengan resit berjumlah RM32,800 tersebut.
Namun pemilik pusat perubatan tersebut, yang tidak mahu namanya disebut, menafikan menerima bayaran puluhan ribu ringgit malahan menurutnya gambar yang diviralkan tersebut bukanlah resit bayaran tetapi adalah sebut harga yang dikeluarkan pihaknya sebelum meneruskan rawatan.
“Saya hanya memberitahu penyakit-penyakit ibunya dan mengeluarkan sebut harga yang perlu dibayar. Sekiranya bersetuju untuk meneruskan rawatan yang disyorkan selepas membuat imbasan dengan persetujuan bayaran sebanyak RM300,” jelasnya.
Menurutnya, mereka tidak pernah memaksa pesakit untuk membayar jumlah-jumlah tertentu dan mengikut kadar kemampuan pesakit atau ahli keluarga. Katanya, keluarga berkenaan memberi seutas gelang emas sebagai tanda setuju untuk meneruskan rawatan selepas sebut harga dikeluarkan.
“Saya tidak paksa pesakit teruskan rawatan, tapi pesakit sendiri yang membuka gelang emas tersebut dan menyerahkan kepada saya serta berkata barang kemas berkenaan bernilai RM4,800 sedangkan bila saya pergi ke kedai emas, harga dinilai kira-kira RM1,700 saja,” katanya ketika ditemui pada Sabtu.
Tambahnya, pusat perubatan yang dijalankan di rumah dan didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) itu telah dua tahun beroperasi serta menggunakan kaedah bacaan ayat-ayat suci al-Quran, doa dan zikir tanpa melibatkan amalan sonsang.
“Terdapat ayat al-Quran yang saya beri kepada pesakit untuk diamalkan, tiada kaitan dengan benda-benda khurafat mahupun jampi serapah,” tegasnya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Ameil Firdaus Razali berkata, pihaknya turut datang ke premis berkenaan untuk meneliti bacaan-bacaan yang digunakan agar tidak bercanggah dengan amalan Islam.
“Ayat-ayat yang diamalkan tidak salah. Namun, kes resit ini telah mencetuskan kekeliruan orang awam terhadap kos melakukan perubatan yang didakwa mahal kerana perubatan Islam kebiasaannya tiada caj tetap,” katanya.
Tambahnya, perkara ini akan dibawa ke Jabatan Fatwa negeri untuk memutuskan sama ada perubatan diberikan berlandaskan sunnah atau tidak dengan berpandukan kepada garis panduan perubatan Islam dan permohonan dikeluarkan JAIM. Tarikh akan dimaklumkan untuk mereka berjumpa dengan mufti.