Skip to main content
Berita TempatanSabah

16 Lokasi Sabah Dilengkapi Sistem Siren Tsunami

By 6 November 2016November 25th, 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Muhammad Khairul Azad Yunus & James Gimpas Ghani (Sabah)

PUTATAN, 6 Nov (Malaysiaktif) – 16 lokasi strategik di Sabah mempunyai sistem siren tsunami bagi menyebarkan amaran tsunami kepada penduduk di sekitarnya.

Lokasi-lokasi tersebut adalah di Semporna, Kunak, Kudat, Kota Kinabalu, Pulau Bum-Bum, Tawau, Lahad Datu dan  Sandakan.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau, sistem amaran itu disokong dengan Sistem Amaran Talian Tetap dalam bentuk pesanan suara yang disampaikan melalui panggilan telefon kepada pelanggan talian tetap Telekom Malaysia yang berada dalam lingkungan tiga kilometer dari kawasan tsunami.

????????????????????????????????????

Tambahnya, kerajaan melaksanakan projek perluasan rangkaian seismik dengan menambah 15 stesen seismik seluruh Sabah bagi memantapkan keupayaan pengesanan aktiviti gempa bumi.

“Pada masa yang sama, pengukuhan bagi Sub-Pusat Pemantauan Gempa Bumi juga telah ditubuhkan di Pejabat Meteorologi Sabah bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan berkaitan kejadian gempa bumi kepada orang awam,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Latih Amal Tsunami 2016 di Dewan Sri Putatan, pada Sabtu.

Jelasnya, latih amal itu merupakan satu modul bagi mempersiapkan penduduk kawasan Putatan untuk sentiasa berjaga-jaga untuk menghadapi ancaman tsunami yang mungkin melanda serta meninggalkan impak kepada kehidupan.

“Salah satu tanggungjawab Kementerian saya dan agensinya Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk melaksanakan program kesedaran awam sebegini agar risiko bencana tsunami dapat diuruskan dengan lebih teratur,” jelasnya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof Madya Dr. Ramzah Dambul.

Pada latih amal tersebut sekitar 1,000 penduduk Putatan terlibat bersama dengan kerjasama 15 agensi kerajaan dan swasta antaranya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Perkhimatan Kebajikan Am Sabah dan Jabatan Penerangan Malaysia.

????????????????????????????????????

Program tersebut juga diadakan sempena pemilihan 5 November sebagai World Tsunami Awareness Day (WTAD) oleh United Nations General Assembly bagi memperingati peristiwa dari Jepun ‘Inamura-no-hi’ semasa berlakunya gempa bumi kuat pada 1854 yang mencetuskan ombak tsunami dan mengorbankan ribuan nyawa.

SF

Tinggalkan komen anda