Oleh Municca Kiat (Sabah)
LAHAD DATU, 9 Nov (Malaysiaktif) – Peluang pekerjaan di pelbagai sektor khususnya di daerah Lahad Datu masih terbuka luas kepada golongan belia yang ingin mencari pekerjaan.
Program Memperkasakan Modal Insan anjuran Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, berjaya menghimpunkan 1000 belia yang mencari pekerjaan di kawasan terbabit di Dewan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Lahad Datu pada Isnin.
Menurut peserta, S.R Victor Impal@John, 20, dari Ladang Monsulik, program ini amat baik terutama kepada belia di kawasan luar bandar untuk memajukan diri mencari sumber pendapatan.
“Selama ini memang amat sukar untuk mendapatkan pekerjaan bukan kerana tidak berusaha tetapi masih belum ada peluang untuk diterima bekerja, dengan adanya program ini memberi semangat bahawa pasti ada yang menerima saya bekerja”, katanya semasa ditemui ketika program berkenaan.
Sementara itu, Masuri Kirino, 25, dari Sandakan turut berkata perlaksanaan program ini amat bertepatan.
“Ramai golongan belia di kawasan pedalaman yang tamat sekolah menengah tidak berminat meneruskan persekolahan atas sebab kewangan.
“Peluang pendedahan pekerjaan seperti ini tentunya membantu golongan terbabit mendapat kemahiran dan pengalaman melalui pekerjaan.
“Diharap program sebegini dapat dilakukan di daerah Sandakan agar penggangguran dalam golongan belia dapat dikurangkan”, ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Penolong Setiausaha Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Awang Bakar Awang Hussien berkata perlaksanaan program tersebut merupakan objektif utama dalam membantu golongan belia mendapatkan pekerjaan.
“Kerajaan komited terus berusaha membantu belia mendapatkan pekerjaan bagi mengurangkan pergantungan negara terhadap pengambilan pekerja asing dalam sektor perladangan, pembinaan dan sebagainya terutama dikawasan Daerah Lahad Datu.
Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Datuk Mohd Suhaili Said, berkata program ini banyak membantu menyelesaikan permasalahan mendapatkan peluang pekerjaan di kalangan belia.
“Diharap agar golongan belia mengambil peluang terhadap penganjuran program ini dan jangan terlalu memilih pekerjaan yang boleh merugikan masa depan, rebutlah peluang keemasan ini untuk menambah pengalaman dan pendapatan diri”, katanya semasa merasmikan program berkenaan.
Penganjuran program tersebut telah disertai sebanyak 12 syarikat swasta daripada pelbagai sektor dan lima daripadanya turut menyediakan latihan kemahiran sebelum memulakan pekerjaan.
Penyertaan program ini turut disertai oleh agensi perkhidmatan awam seperti Jabatan Bomba dan penyelamat Daerah Lahad Datu yang berjaya menarik minat seramai 630 golongan belia untuk mencipta kerjaya di agensi terbabit.