NEW YORK: Calon Parti Republikan, Donald Trump mencapai impian untuk memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) apabila jauh meninggalkan pencabarnya, Hillary Clinton dari Partri Demokrat.
Setakat pukul 3.33 petang waktu tempatan, keputusan semasa menunjukkan Trump meraih 276 undi kawasan pemilihan, melebihi empat undi untuk mengesahkan kemenangan berbanding lawannya, Hillary yang mendapat 218 sokongan pemilihan.
Kedua-dua calon perlu mendapatkan sokongan undi 270 kawasan pemilihan bagi memenangi pilihan raya tersebut.
Trump akan menjadi satu-satunya Presiden yang tidak memiliki pengalaman dalam bidang politik dan ketenteraan untuk mengetuai White House.
“Ini masanya untuk rakyat Amerika bersatu.
“Kepada semua penyokong Republikan, Demokrat dan bebas di seluruh negara, bagi saya ini merupakan masanya untuk kita bersama-sama menjadi negara yang bersatu. Inilah masanya,” kata Trump sambil ditemani keluarganya ketika berucap di hadapan penyokong di depan hotel Hilton Midtown di Manhattan.
Dalam perkembangan lain, Parti Republikan menyapu bersih kedua-dua badan tertinggi AS iaitu Dewan Senat dan Dewan Perwakilan menerusi kemenangan majoriti.
Parti pimpinan Trump itu meraih undian majoriti sebanyak 51 sokongan berbandingan Demokrat, 47 undian untuk menguasai Dewan Senat.
Dewan Perwakilan juga dimonopoli oleh Parti Republikan dengan undian sebanyak 234 berbanding 178 yang diraih parti pimpinan Hillary.
Sementara itu, Hillary akur terhadap kekalahan tersebut dan menghubungi Trump untuk memaklumkan perkara itu.