Laporan dan foto oleh Pradeeb Kumar Velayutham (Putrajaya)
KUALA LUMPUR, 25 Nov (Malaysiaaktif) – Hadiah hampir bernilai RM 25,800.00 ribu dimenangi para pemenang peraduan Instagram ‘#sehatisejiwa sempena sambutan Hari Kebangsaan 2016.
Keterujaan memaparkan pelbagai gelagat sehati sejiwa dan rasa cinta negara dalam kalangan rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan 2016 melalui foto Instagram mencerminkan tahap patriotisme mereka.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Jailani Johari yang menyatakan demikian turut menyifatkan Instagram sebagai sebuah platform media sosial yang mampu memupuk solidariti dalam kalangan generasi muda serta masyarakat majmuk di negara ini.
“Pengguna terbesar media sosial dan internet ialah Generasi Y, justeru pertandingan Instagram dan media sosial merupakan medium terbaik untuk menyemai semangat cintakan negara,” ujarnya semasa majlis penyampaian hadiah Peraduan Instagram ‘#sehatisejiwa sempena sambutan Hari Kebangsaan 2016’ di Fakulti Perniagaan Universiti Kuala Lumpur (Unikl) di sini petang semalam.
Peraduan Instagram #sehatisejiwa ini dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan KKMM.
Bagi kategori gambar, kategori umum dimenangi oleh Nurul Syahirah Ishak yang membawa pulang wang tunai sejumlah RM 2 ribu, manakala bagi kategori mahasiswa yang menyediakan hadiah wang tunai berjumlah RM 1,500 disandang Muhammad Amirul Fikri Muhamad Fauzi.
Muhammad Aizat Azman pula berjaya merangkul tempat pertama bagi kategori Sekolah Menengah dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM 1 ribu.
Turut dipertandingkan, kategori video yang dimenangi Umadevi Vengdesh, Muhammad Rusydi Md.Atan, dan Pravena Sreetharan masing-masing untuk kategori umum, mahasiswa dan sekolah menengah.
Dalam majlis yang sama, JASA, KKMM dan UniKL telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam membentuk kerjasama strategik.