Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahNegeri SembilanViral

Mato bonih To’ Mayam Penghulu Luak Jempol Ke 11

By 30 November 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Oleh : Hamidah binti Md Drus

JEMPOL, 28 Nov (Malaysiaaktif) – Mato bonih To’ Mayam diisytihar jawatan Ke Bawah Kaus Datuk Penghulu Luak Jempol Ke 11 selepas undian oleh Datuk – Datuk Lembaga, dengan gelaran Datuk Lela Putra Setiawan di Balai Pemangku Penghulu Luak Jempol pada 9.00 pagi tadi.

Pengisytiharan dan Adat Istiadat Perlantikan ini dibuat setelah penyandang sebelum ini, Allahyarham Datuk Penghulu Datuk Haji Mohd Hashim bin Abdullah yang telah meninggal dunia pada tahun 2015. Kali terakhir warga Jempol menyaksikan adat istiadat ini ialah 32 tahun yang lalu.

Menurut Datuk (Lembaga Lantikan) Luak Jempol, merupakan salah satu luak dalam Gagasan Luak Tanah Mengandung yang meliputi Luak Ulu Muar, Terachi, Gunung Pasir dan Inas, Datuk Dagang Mohd Salleh bin Haji Atan, Penghulu Luak Jempol yang pertama adalah Dato’ Daim anak Patam yang dijemput dari Pasir Besar. Perlantikan penyandang Pusaka Luak Jempol kali ini merupakan yang kesebelas keturunan dari tiga moyang iaitu To’ Tarom, To’ Mayam dan To’ Ngai Uban.

Datuk Lela Putra Setiawan Abdul Hafit Anuar bin Abu Bakar berkata, beliau merupakan waris dari ‘perut’ To’ Mayam. Beliau melahirkan rasa gembira dan bangga kerana telah diberi kepercayaan untuk memimpin dan memelihara adat perpatih di daerah Jempol dan beliau berharap agar adat perpatih terus diamalkan kerana adat perpatih bersendikan syarak.

Mengikut adat perpatih, selepas 100 hari diumumkan kekosongan jawatan Datuk Penghulu, Tok-tok Lembaga perlu memilih ‘mato bonih’ iaitu waris dari ‘perut’ yang layak untuk dilantik menyandang jawatan Datuk Penghulu Luak Jempol. Jawatan ini telah dipangku sementara oleh Datuk Lela Raja Haji Alias bin Abdul Karim.
Istiadat dimulakan dengan bakal Datuk Penghulu Luak Jempol dimandikan dan dibedak di rumah telapak yang terletak di Kuala Jempol. Kemudian beliau dibawa ke Taman Kepayang untuk diarak dan diiringi oleh Datuk – Datuk adat yang membawa alat-alat kebesaran Datuk Penghulu Luak Jempol.

Setelah bakal Datuk Penghulu Luak naik ke dalam balai, maka bermulalah adat istiadat pengisytiharan. Sebaik sahaja lafaz ikrar taat setia dibaca oleh bakal Datuk Penghulu Luak maka rasmilah Abdul Hafit Anuar bin Abu Bakar menjadi Datuk Penghulu Luak Jempol yang baru.

Sebanyak 8 das tembakan telah dilepaskan sejurus istiadat tersebut bagi menandakan pelantikan Datuk Penghulu Luak.
Turut hadir Raja Nazrilhisham bin Raja Shahminan, wakil Istana Seri Menanti, Datuk Shamsulkahar bin Mohd Deli selaku wakil Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Jempol, Jelebu dan Kuala Pilah serta ketua-ketua jabatan.

– MRR

Tinggalkan komen anda