Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj Bulka
MELAKA, 1 Nov (Malaysiaaktif) – Lebih 500 usahawan dan pempamer dari seluruh Malaysia akan menyertai ‘Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Peringkat Nasional’ yang akan diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 24 hingga 27 November ini.
Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Hasan Abdul Rahman berkata pameran SDSI yang memasuki kali ke-11 penganjurannya menyasarkan lebih 100,000 pengunjung untuk program selama empat hari ini.
“Seramai 18 usahawan dan pempamer dari Melaka akan turut serta dalam program tersebut merupakan mereka yang terpilih oleh Unit Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, Jabatan Ketua Menteri dan akan ditempatkan di Pavillion Melaka nanti,” ujarnya.
Kata Hasan, dia berbesar hati kerana majlis perasmian pameran SDSI akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
“Saban tahun, program ini mempamerkan kematangan dengan penglibatan peserta yang kreatif dan berdaya saing yang secara langsung menarik perhatian serta minat para pembeli dan pengedar terhadap keluaran SDSI,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk SDSI di Seri Negeri, semalam.
Tambahnya, kerajaan negeri turut berharap agar program ini dapat menggalakkan perpaduan antara masyarakat di samping memperluas rantaian ekonomi dan usahawan seluruh negara.
“Pameran ini juga dianggap pelengkap kepada rantaian keusahawanan di negara ini melalui jalinan strategik pelbagai agensi untuk mengembangkan perniagaan dengan lebih berkesan, selain membuka peluang esksport produk berkualiti ke peringkat global,” kata Hasan.
Jelasnya, penganjuran SDSI mampu mengubah pemikiran usahawan tempatan agar lebih kreatif dan inovatif dalam menghasilkan produk mereka dan tidak semata-mata mengeluarkan barangan yang sedia ada terdapat di pasaran.
Katanya lagi, kesemua 18 pempamer dari Melaka akan diberi peluang memasarkan produk mereka ke negara China pada masa akan datang.
-DZ