Skip to main content
Berita TempatanSabah

Sekolah St Monica, Sekolah Terbaik UPSR Daerah Sandakan

By 18 November 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: R.Fauzi Abdul Lahap & Charlane Aloysius Sitaim (Sabah) 

SANDAKAN, 17 Nov (Malaysiaktif) – Sekolah St Monica diumumkan sebagai sekolah terbaik Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) bagi seluruh daerah Sandakan daripada 67 buah sekolah termasuk sebuah sekolah rendah swasta.

Menurut Penolong Kanan Ko-Kurikulum, Radhiyah Saelin yang mewakili Guru Besar, Nukilis Gampalid@ Nicholas, sekolah berkenaan turut menduduki tangga keempat daripada 10 buah sekolah terbaik dalam pencapaian UPSR bagi negeri Sabah.

Seramai enam pelajar memperoleh 6A pada tahun ini iaitu Andi Mohd Asyraf Paturusi Adam, Andi Nurul Ashiqin Arshad, Brandon Chin Min Qiao, Brenna Lo Tzi Yuet, Nurin Afifah Mohd Azlan dan Sanchita A/P Sangkar.

Manakala seramai lapan orang pelajar memperoleh 5A,1B dan dua orang mendapat 5A,1C.

Radhiyah, menjelaskan ini merupakan kejayaan pertama sekolah pada 2016 bagi pelaksanaan peperiksaan dengan enam subjek dengan mengguna pakai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam kalangan pelajar.

img-20161117-wa0031

“Justeru, pihak sekolah tidak dapat membuat sebarang perbandingan pencapaian berikutan perbezaan penggunaan sistem baharu tersebut”, katanya semasa mengumumkan pencapaian UPSR di sekolah berkenaan.

Sementara itu, sepasang suami isteri yang menanti dengan debaran keputusan menyambutnya dengan rasa gembira dan syukur kerana anaknya berjaya lulus dalam semua subjek.

Hamree Murah, 40, melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian anaknya kerana telah berusaha dengan sedaya upaya.

“Saya dan isteri hadir ke sekolah hari ini semata-mata ingin mendapatkan keputusan UPSR anak dan kami berasa lega bila mengetahui anak saya lulus dan ini amat membanggakan saya.

“Saya berdoa agar dengan kejayaan ini akan mendorong anak saya untuk terus belajar ke peringkat lebih tinggi seterusnya berjaya pada masa hadapan”, katanya ketika ditemui semasa Majlis Pengumuman Pencapaian UPSR di Sekolah St.Monica semalam.

Dalam pada itu, Pegawai Pendidikan Daerah Sandakan, Sh.Mahada Sh.Attar berkata seramai 4,533 pelajar tahun enam daripada 67 buah sekolah rendah termasuk sekolah swasta telah menduduki peperiksaan berkenaan tahun ini.

“Dari segi pencapaian, Sekolah St.Monica memperoleh 2.41 gred purata GDP dengan 89 peratus kelulusan diikuti Sekolah Kebangsaan Sg.Madang dengan 2.56 GDP dan 100 peratus lulus, SK. St Mary Convent 2.87 GDP 78.6 peratus lulus, Sekolah Kebangsaan Tanjung Pisau 2.89 GDP, 100 peratus lulus, Sk Sakilan Desa, 2.90 GDP, 77 peratus lulus, SJKC Tai Tong, 2.91 GDP, 66 peratus lulus, SJKC Pui Gin, 2.93 GDP, 62 peratus lulus dan SK Sung Siew 2.96 GDP, 71 peratus lulus.

Seramai 187 calon UPSR di Sabah memperoleh semua Gred A dengan gred purata negeri (GPN) 3.29

-SF

 

 

 

 

Tinggalkan komen anda