Oleh Hendry Nurdin (Sabah)
KENINGAU, 6 Nov (Malaysiaktif) – Jabatan Bomba dan Penyelamat daerah Keningau mengeluarkan amaran berjaga-jaga di lima buah lokasi di sini pagi tadi.
Amaran ini berikutan peningkatan paras air sungai dan arus deras yang berlaku di beberapa buah lokasi iaitu Kampung contoh, Taman Kota, Kampung Limbawan, Kampung Senagang dan Apin-apin.
Keadaan hujan sejak semalam dikatakan punca berlakunya peningkatan paras air sungai di lokasi terbabit.
Menurut Penguasa Bomba Zon Pedalaman Atas, Abu Hassan Mohd Nawi, ketika ini pihak bomba memantau sekitar kawasan sungai Pampang dan paras air masih terkawal dan menjangkakan akan kembali surut lewat malam ini.
“Tiada Operasi pemindahan mangsa dijalankan setakat ini. Terdapat beberapa buah rumah turut dinaiki air, namun masih selamat diduduki. Walaupun begitu, penduduk disarankan untuk berpindah ke rumah saudara terdekat sementara menunggu keadaan kembali selamat dan air surut sepenuhnya.
“Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) akan terus memantau dan segera bertindak jika keadaan dilihat semakin mengancam keselamatan penduduk”, jelasnya ketika dihubungi Malaysiaaktif petang tadi.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang bentuk mesej berkaitan bencana kerana dapat menimbulkan panik kalangan masyarakat.
“Tindakan masyarakat menyebarkan ssesuatu kejadian yang kononnya seorang kanak-kanak hanyut adalah tidak benar. Hasil pemeriksaan mendapati hanyalah sebuah van yang telah hanyut manakala semua penumpang selamat”, jelasnya lagi.
Peningkatan paras air sungai ini turut menyebabkan beberapa buah logi air Kampung Agudon dan Kampung Keningau terpaksa ditutup sementara waktu.