Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka
JASIN, 7 Nov (Malaysiaaktif) – Program lawatan kampung yang disangka biasa-biasa sahaja tersasar apabila terpilih untuk menginap di rumah keluarga angkat di Kampung Tehel, Bemban.
Diana Biah anak Mai yang berasal dari Sarawak pantas menyesuaikan diri walaupun terpilih menjadi anak angkat keluarga Abdul Latif Mariman yang berbeza agama dengannya.
“Mujur saya dapat menyesuaikan diri dengan keluarga angkat yang sangat mesra melayan kami. Mula-mula memang rasa segan, namun ayah angkat juga tidak kisah untuk meminjamkan motosikal untuk kegunaan kami sepanjang program,” ujar Diana mewakili seorang lagi rakannya yang juga anak angkat keluarga tersebut.
Diana merupakan antara 50 pelajar dari tiga institusi di negeri ini iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin dan Lendu, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah yang terpilih untuk mengikuti Program Pewaris Muda Gemilang Siswa.
Kata Diana, dia juga gembira dapat turut serta dalam Program Jalinan Kasih yang menghulurkan sumbangan dan bantuan dengan penduduk kampung yang memerlukan.
Kedua-dua program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) ini menerima maklum balas yang positif daripada peserta program dan keluarga angkat dan berharap supaya tempoh masa program ini dapat dilanjutkan.
“Ikhlas saya katakan, program ini sangat singkat dan tempoh tiga hari dua malam tidak cukup untuk saya timba lebih banyak pengalaman bersama-sama penduduk kampung ini,” keluh Diana.
Bapa angkatnya, Abdul Latif yang juga seorang bilal berkata dia menerima dengan tangan terbuka ketika ditawarkan untuk menerima dua orang anak angkat dalam program ini.
“Saya suka apabila JaPen menganjurkan program sebegini yang melibatkan anak-anak muda kerana selain dapat bergaul dengan penduduk kampung, minda mereka akan lebih terbuka jika sesekali dapat meninggalkan dunia kampus,” katanya.
Abdul Latif juga adakalanya membawa anak angkatnya sembahyang berjemaah bersama. Dia juga memastikan mereka selesa di rumah tersebut dan menganggap keluarganya seperti keluarga sendiri.
“Saya pastikan mereka makan makanan air tangan isteri saya, ada yang tidak suka makan sayur, ada yang tidak makan ikan parang, jadi saya beli ayam supaya mereka dapat makan sedap-sedap,” kata Abdul Latif.
Namun begitu, Abdul Latif berharap jika program ini memberi lebih masa untuk keluarganya meluangkan masa berkenalan dengan anak-anak angkat kerana kebanyakan masa mereka dihabiskan dengan program yang disusun di luar rumah.
“Kami belum berbual lebih banyak dengan anak-anak angkat kami, tapi saya dah pesan supaya hubungan ini tidak terputus begitu sahaja, dan saya harap mereka dapat bawa keluarga suatu hari nanti agar dapat berkenalan dengan kami,” katanya penuh harapan.
Sementara itu, Pengerusi JKKK Kampung Tehel, Rahim Selamat berasa gembira apabila dapat tahu kampungnya terpilih untuk dijadikan rakan bagi menjayakan program tersebut.
Menurutnya, ramai keluarga yang gembira dan sukarela menerima anak angkat, dan mereka sentiasa menyokong program sebegini diadakan di kampung tersebut.
“Saya telah memilih keluarga angkat yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah supaya siswa-siswi ini dapat menarik anak-anak keluarga angkat untuk belajar dengan lebih rajin lagi, dan menjadi ikon yang boleh dicontohi,” jelasnya.
Harapannya agar anak-anak tadi dapat menyimpan hasrat dan cita-cita untuk dapat melanjutkan pelajar ke peringkat tinggi seperti siswa dan siswi tadi.
Program Pewaris Muda Gemilang Siswa yang berkonsepkan keluarga angkat ini bertujuan menyemai nilai kemasyarakatan dalam kalangan penduduk dan mahasiswa.
Antara aktiviti yang turut dilakukan oleh peserta program ialah Sukan Rakyat, mendengar ceramah, kenduri kampung dan gotong-royong membersihkan kawasan perkuburan.
-DZ