Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau PinangViral

Ekonomi Bumiputera Terus Diperkasa

By 16 November 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Mohd. Zahari Zakaria (Permatang Pauh)

PERMATANG PAUH, 16 November (Malaysiaaktif) – Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menjadi agenda nasional.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ahmad Maslan berkata demikian ketika merasmikan Klinik Usahawan Bumiputera 2016 di sini, semalam.

“Golongan belia hari ini perlu aktif bersuara kerana pandangan dan aspirasi mereka diambil kira dalam pembentukan dasar negara seperti pembentangan Bajet 2017 baru-baru ini melalui Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang memberi perhatian sepenuhnya kepada belia dan anak muda Malaysia sama ada di peringkat domestik, serantau mahupun antarabangsa,” katanya.

Ahmad turut menggalakkan usahawan Bumiputera untuk merebut peluang hasil daripada integrasi ekonomi serantau di bawah Komuniti Ekonomi Asean (AEC) yang membuka peluang pasaran dengan 625 juta penduduk.

“Bagi membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan merebut peluang, Program Galakan Eksport Bumiputera (GEB) telah dilancarkan oleh Perdana Menteri pada April lalu.

“GEB merupakan inisiatif SME Corporation Malaysia (SME Corp) bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA), bertujuan meningkatkan daya saing usahawan Bumiputera agar dapat menembusi pasaran antarabangsa,” jelas Ahmad lagi.

whatsapp-image-2016-11-15-at-8-25-28-pm-1

Tambahnya, RM200 juta telah diperuntukkan di bawah RMK 11 untuk mewujudkan 400 pengeksport baharu dalam kalangan usahawan Bumiputera, menerusi penyediaan bantuan pra-eksport.

“SME Corp telah menerima peruntukkan di bawah RMK 11 bagi melaksanakan Skim Peningkatan Kapasiti dan Keupayaan PKS (BAP) 2.0 berjumlah RM100 juta, Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) Plus berjumlah RM50 juta serta Program Pembangunan Usahawan Mikro berjumlah RM10 juta. SME Bank pula menerima peruntukkan berjumlah RM200 juta untuk melaksanakan program baharu iaitu Skim Anjakan Usahawan,” katanya.

Program yang disertai oleh 150 usahawan belia serta agensi-agensi pembangunan keusahawanan seperti MARA, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) ini merupakan landasan kepada usahawan Bumiputera untuk mendapatkan dana bagi menjalankan perniagaan.

Antara pencapaian Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera MITI dan Agensi adalah Program Pembangunan Vendor, Program Groom Big, Satu Daerah Satu Industri dan Peruntukkan Khas Saham Bumiputera.

– AH

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda