Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj Bulka
MELAKA, 8 Nov (Malaysiaaktif) – Prihatin dengan keselamatan wanita yang sering menjadi mangsa kes-kes jenayah, memberikan idea buat Farah Dina Amran, 21, untuk menawarkan perkhidmatan GirlsCab.
“Sebelum ini saya bekerja di kilang, dan duit gaji itu saya kumpul lalu membeli kereta terpakai untuk kegunaan harian. Selepas itu, saya berhenti kerja dan tekad untuk bekerja sendiri supaya dapat meluangkan lebih masa membantu mak berniaga.
“Mak berniaga kecil-kecilan menjual kuih-muih. Sejak zaman sekolah lagi saya sudah tolong mak, sebab itulah saya tidak terfikir untuk menyambung pelajaran,” katanya yang menamatkan pelajaran di Sekolah Menengah Jasin.
Jelas Farah, dia hanya mencari cara untuk mendapatkan pendapatan lebih, dan dengan menawarkan khidmat GirlsCab melalui Uber, dia dapat melakukan tiga kerja serentak selain pemandu iaitu sebagai runner yang menghantar barangan pelanggan serta khidmat pembersihan rumah dan pejabat.
Dengan membuat tiga kerja dalam satu masa, Farah berkata dia mampu memperoleh pendapatan mencecah RM1,800 sebulan.
“Saya membuat kerja lebih untuk mendapat pendapatan lebih supaya dapat membahagiakan ibu dan bapa. Saya merasa lebih gembira melakukan perkara yang diminati.
“Satu benda kita kena pegang. Kita susah tiada orang nak tolong, tetapi kita buat apa yang kita suka atau minat insya-Allah kekallah kerja kita. Rezeki Allah itu luas. Tidak kisah kita kerja apa selagi ianya halal, yang penting kita usaha,” jawab Farah tulus.
Menurutnya, jika perkhidmatan teksi biasa, pelanggan perlu keluar dan menahan teksi di tepi jalan, berlainan dengan khidmat yang ditawarkannya yang menjemput dan menghantar pelanggan di hadapan rumah.
“Cara begitu lebih selamat dan memudahkan penumpang supaya tak perlu jalan kaki ke luar utk menunggu teksi atau bas, lebih-lebih lagi jika penumpang tersebut ialah warga emas atau OKU.
“Saya lebih senang kerja sendiri. GirlsCab ini memang untuk wanita sahaja. Saya lebih utamakan pelajar, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas, orang-orang berkeperluan untuk ke hospital atau ke pejabat-pejabat kerajaan,” kata Farah.
Sebelum ini, Farah mengaku dia agak risau untuk memulakan khidmat GirlsCab kerana perlu mendapatkan permit untuk tugas penghantaran, namun setelah perkhidmatan Uber telah menembusi Melaka, dia tidak berfikir panjang untuk mengambil peluang tersebut.
Kata Farah, tugasnya bukan setakat menghantar barangan sahaja, namun pelbagai cerita yang dikongsi oleh pelanggan yang banyak menyedarkannya mengenai kehidupan dan kesusahan orang lain.
“Saya pernah mendapat panggilan daripada jiran seorang nenek yang meminta saya menemani nenek tersebut membeli barangan dapur kerana anak-anak sangat sibuk untuk menemaninya,” ujarnya pilu.
Tambahnya, walaupun anak-anak memberikan warga emas tersebut wang perbelanjaan yang mencukupi tetapi nenek tersebut berkongsi kesedihannya kerana anak-anak kurang meluangkan masa bersamanya dan ini memberikan pengajaran kepadanya supaya tidak membuat kesilapan yang sama.
“Pernah juga saya menemani seorang OKU yang sudah lama terperap di rumah untuk bersiar-siar di bandar Melaka kerana keluarganya risaukan keselamatannya kalau dia berada di luar rumah. Yang penting, keselamatan mereka memang saya utamakan,” katanya.
-DZ/AAS