Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedahViral

Hati Di Baling Punca Graduan Elektronik Bertani

By 10 November 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Laporan dan foto oleh  Muhammad Rizal Redzuan

BALING, 10 Nov (Malaysiaaktif) – Graduan Diploma Elektrik dan Elektronik Universiti Teknologi Malaysia Skudai, Abdul Rahman bin Mat Ramli, 31, nekad untuk berkebun sayur di Kampung Lubuk Badak, Weng Baling sejak 11 tahun yang lalu. Semua ini semata-mata kerana kasihkan kampong halaman dan tidak sanggup berjauhan dengan tanah kelahirannya.

Abdul Rahman yang kini mengusahakan 12 relung (ukuran keluasan tanah di Kedah, satu relung bersamaan 34 ribu kaki persegi) bermula hanya dengan menanam sayur pada 2005 di atas tanah seluas suku relung milik keluarganya sejurus tamat pengajian diplomanya.

Beliau kini mengusahakan pisang emas sebanyak 2800 pokok di tanah hutan belukar seluas lima relung yang dibeli dan dibersihkan.Selain itu beliau juga menanam sayur, seperti timun, cili, kucai, petola dan bendi.

Menurutnya, kos untuk membersihkan tanah yang dibeli menggunakan pinjaman sebanyak RM49,000 daripada Agrobank yang telah pun dilangsaikannya.

Tujuh relung tanah lagi disewa dari neneknya dengan bayaran tahunan RM200 serelung.

Setelah bertungkus lumus selama 11 tahun, beliau kini mampu meraih sekitar RM7000 – RM8000 sebulan sebagai pendapatan bersih dengan kos pasti sebanyak RM 7000 sebulan termasuk bayaran gaji pekerja, kos vitamin pokok, baja, racun dan sebagainya.

20161027_105207

Beliau juga menanam sayur, seperti timun, cili, kucai, petola dan bendi.

 

Menurut Abdul Rahman, asalnya beliau berhasrat membawa anak-anak kampung di sini, terutamanya golongan Mat Rempit untuk sama-sama berusaha memajukan belukar-belukar yang luas di kampung mereka, tapi setelah beberapa kali mencuba, akhirnya beliau terpaksa menggunakan tenaga asing kerana masalah displin yang serius, seperti sering tidak datang, datang lewat dan menghilangkan diri setelah mendapat upah.

Ini antara keluhan beliau kerana gagal membantu golongan sebayanya maju bersama. Selain itu, masalah harga baja, vitamin pokok, racun, benih yang naik mendadak serta cuaca yang tidak menentu adalah cabaran yang sangat besar yang sedang beliau hadapi kini.

Cuma beliau agak bernasib baik kerana adanya carok (tali air kecil, cabang kepada anak sungai) yang tidak pernah kering dan dapat digunakan airnya bagi menyiram tanaman walaupun semasa musim kemarau.

Bagi tujuan pemasaran hasil kebunnya, pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan atau Federal Agricultural Marketing Authority (FAMA) Daerah Baling menyediakan saluran pasar tani untuk dijual  kepada peniaga-peniaga di situ. Selain dapat menjual dengan harga yang lebih tinggi, peniaga pula dapat membeli terus dari pengeluar dan mengelakkan orang tengah.

Beliau kini sedang berusaha memulakan tanaman baharu, iaitu betik yang dikatakan sangat menguntungkan dan tahan lasak di atas tanah seluas 10 relung lagi.

Abdul Rahman berharap anak-anak kampung di sini mengambil peluang untuk berganding bahu dengan beliau menjadikan tanah-tanah terbiar sebagai jelapang makanan kepada seluruh penduduk daerah Baling.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda