Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Hebatkan Melayu Seluruh Nusantara – Ahmad Zahid

By 18 November 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 18 Nov (Malaysiaaktif) – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata untuk menjadi bangsa dan agama yang paling maju di dunia, Melayu dan Islam harus berpijak di bumi yang nyata.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Ke-17 di Bandar Hilir di sini, malam tadi.

Menurutnya, DMDI harus menyediakan platform bagi memastikan masa hadapan generasi Y dan Z dirancang dengan relevan dan tidak hanya bernostalgia pada kisah silam semata-mata.

“Tiga elemen tersebut perlu dilaksanakan DMDI kerana dengan kombinasi ini kita akan kekal menjadi bangsa dan agama yang tersohor,” serunya.

Kata Ahmad Zahid, bangsa Melayu harus faham realiti di hadapan dan orang Islam harus singkap sejarah sebagai panduan untuk masa hadapan.

“Mari kita lihat 50 tahun dari sekarang, bagaimana nostalgia menjadi cermin tetapi tidak boleh jadi panduan untuk bergerak ke hadapan. Sekiranya bangsa Melayu ingin terus maju, mereka perlu mengubah sikap mereka yang suka mencemuh bangsa dan bahasa sendiri,” tegasnya.

10

Yang turut hadir, Yang DiPertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan Presiden DMDI, Tan Sri Mohd Ali Rustam serta lebih 1,000 perwakilan daripada 20 negara anggota termasuk Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei dan Australia.

Tambahnya, bangsa lain tidak akan menghargai bangsa Melayu sekiranya orang Melayu sendiri tidak menghargai apa yang ada pada diri mereka.

“Bahasa Melayu harus memainkan peranan sebagai bahasa lingua franca di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sebagai alat komunikasi di peringkat antarabangsa.

“Dunia Barat mahu menjadikan acuan Islamofobia itu sesuatu yang diterima dan ditanam dalam minda kita sehingga acuan itu mampu membuatkan kita membinasakan diri sendiri.

“Mereka mahu ‘mengislamofobiakan’ kita dengan meletak lukisan bahawa orang Islam itu melahirkan keganasan. Gambaran itu diberikan mereka, akhirnya kita menelan dan termaktub dalam minda kita,” katanya lagi.

15

Konvensyen selama dua hari tersebut dimulakan dengan bacaan Al-Quran, Penyampaian Anugerah DMDI dan Anugerah Tokoh Penggerak Budaya, Pelancaran portal Kampung Biz dan juga pelancaran filem Panglima Awang.

9

“Filem Panglima Awang harus dipasarkan di peringkat antarabangsa, bukan hanya untuk melihatkan kehebatan lampau orang Melayu tetapi juga supaya kita dapat bina semula keagungan orang Melayu di seluruh dunia.

“Kita mahu bekerjasama dengan seluruh rantau supaya nusantara muncul semula sebagai empayar Melayu dalam bidang ilmu.  Hebatkan seluruh Nusantara, mudah-mudahan cabaran yang saya datangkan dapat diterjemah bersama-sama,” katanya.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda