Oleh : Salawati Mat Shariff (Kepala Batas)
Kepala Batas, 17 November (Malaysiaaktif) – Menarik nafas lega, murid cemerlang Sekolah Kebangsaan Penaga (SKP), Nur Alia Izwana Zakaria, 12, menitiskan air mata apabila memperoleh keputusan 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Ibu Alia, Khairul Munirah Hamzah, 42, meluahkan rasa gembiranya atas kejayaan anaknya yang turut mendapat anugerah Tokoh Akademik SKP 2016 apabila ditemui wartawan Malaysiaaktif.
Khairul Munirah berharap anak bongsu dari lima adik beradik itu dapat menyambung pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seperti yang dihajati oleh anaknya itu.
Berbeza dengan pendirian Khairul Munirah, bapa kepada Alia, Zakaria Ibrahim, 44, berasa berat hari untuk melepaskan anaknya bagi melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh kerana tidak mahu berenggang jauh dengan anak kesayangannya itu.
“Ini adalah permulaan fasa baharu dalam hidup Alia, semoga Alia dapat mengulangi kejayaan yang sama dalam semua peperiksaan penting yang akan datang” ujarnya.
Kejayaan Alia turut dikongsi bersama rakannya yang turut mendapat keputusan cemerlang 6A, Nurul Anis Marshita Shuhairi.
Dalam pada itu, SKP turut mencatat rekod pencapaian yang baik bagi subjek Sains dalam UPSR 2016 berbanding tahun lalu.
Guru Besar SKP, Norhayati Saad berkata demikian di Majlis Pengumuman Keputusan UPSR di sini, semalam.
Menurutnya, perbandingan subjek Sains pada tahun 2015 ialah sebanyak 79% dan meningkat sehingga 97.8% pada tahun 2016.
“Ini adalah tahun pertama calon-calon UPSR menggunakan format baharu selepas transformasi pendidikan kumpulan 1 (KSSR) yang menetapkan 6 subjek berbanding 5 subjek pada tahun-tahun sebelumnya,” katanya.
Tambah Norhayati, pada kali ini selain slip keputusan peperiksaan, setiap pelajar akan menerima empat sijil lain iaitu sijil pentafsiran sekolah meliputi semua mata pelajaran teras dan elektif, sijil ujian attitude, sijil jasmani dan sijil JQAF (Jawi, al-Quran, Arab, Fardu Ain).
– AH