Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Suami Buta, Anak Alami Anorectal Anomaly

By 25 November 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan / foto oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 25 Nov (Malaysiaaktif) – Lima tahun lepas, hampir sahaja Norhazura Ab Raman, 32, pengsan mendengar perkhabaran daripada mulut doktor bahawa anak kedua yang baru sahaja dilahirkan tidak mempunyai saluran najis yang dikenali sebagai Anorectal Anomaly.

Lebih mengharukan, suaminya, Mohd Nizam Omar, 36, tempat berkongsi suka dan duka pula mengalami kemalangan seminggu sebelum menyambut Aidilfitri tahun lalu yang menyebabkan Mohd Nizam hilang penglihatan kerana terdapat darah beku di dalam matanya.

“Doktor terpaksa melakukan pembedahan menebuk lubang di duburnya sebab anak bongsu saya itu tiada saluran dan lubang najis menyebabkan doktor terpaksa lakukan pembedahan untuk tebuk lubang untuk keluarkan najis,” ujarnya.

Lebih meruntun hatinya, semasa anak bongsunya, Ahmad Nazman, baru berusia enam bulan, doktor terpaksa masukkannya ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana lubang dubur yang ditebuk kecil dan terkena jangkitan kuman. Di waktu yang sama, Ahmad Nazman juga hampir terkena sawan.

“Selepas itu, anak saya terpaksa ditempatkan selama sebulan di ICU sebulan dan dua bulan di wad biasa. Perkembangannya tidak sama seperti kanak-kanak lain seusianya yang boleh merangkak.

sedih-ketika-berkongsi-kesusahannya

Norhazura tidak dapat menahan kesedihannya ketika berkongsi kesusahan yang dihadapinya.

 

“Doktor terpaksa keluarkan semula usus najis dan tebuk di bahagian perut dan selama lebih lima bulan juga kami perlu lekatkan beg di usus itu untuk menadah najis yang keluar.

“Disebabkan timbul beberapa masalah, doktor terpaksa menebuk lubang yang lain pula, juga di bahagian perut. Setakat ini, sudah lima lubang ditebuk untuk dia buang air besar,” kata Norhazura yang bekerja di sebuah kilang.

Anaknya yang sulung, Nurnajwa, kini berusia tujuh tahun dan telah mula persekolahan.

batu-karang-yang-berjaya-dikeluarkan-melalui-pembedahan

Batu karang yang berjaya dikeluarkan melalui pembedahan.

 

Jelasnya, hingga kini, Ahmad Nazman sudah 10 kali membuat pembedahan termasuk membuang batu karang. Kini, perkara penting yang perlu dilakukannya adalah memastikan beg kantung yang digunakan oleh anaknya kerap ditukar setiap kali penuh kerana ia mudah dijangkiti kuman.

“Bila dia sudah berumur lima tahun, saya perlu menukar beg kantung itu setiap empat jam sekali, dan memang tinggi kos yang saya perlu keluarkan sebab satu beg ini harganya RM18,” katanya.

Tambah Norhazura, dengan gaji sebanyak RM1,300 setiap bulan, dia tidak mampu untuk menanggung kos perubatan kerana mereka tidak mendapat mana-mana bantuan di samping perlu menampung kehidupan mereka sekeluarga.

beg-kantung-bernilai-rm18-dan-perlu-ditukar-4-jam-sekali

Beg kantung bernilai RM18 dan perlu ditukar empat jam sekali.

 

Dugaan yang dihadapi Norhazura dikongsi bersama pemberita ketika program Ziarah Kasih bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Paya (ADUN) Rumput, Datuk Sazali Muhd Din di rumah mereka yang terletak di Kampung Sungai Badau, di sini semalam.

Sementara itu, Sazali turut membantu mendapatkan bantuan untuk keluarga tersebut termasuklah bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana ketiga-tiga mereka layak untuk menerima bantuan.

sazali

ADUN Paya Rumput, Datuk Sazali Muhd Din berazam untuk membantu keluarga malang tersebut dan bantu ringankan beban dengan mendapatkan bantuan.

 

“Saya juga akan cuba mendapatkan bantuan dari pelbagai pihak untuk meringankan beban ibu muda ini, kerana kos perubatan suami dan anaknya sangat tinggi dan dia memang tidak mampu untuk menanggungnya sendiri,” katanya.

Tambah Sazali, dia akan sentiasa memantau setiap perkembangan keluarga tersebut sehingga mendapat bantuan yang diperlukan.

 

-DZ/AAS
Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda