Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Ke Arah Pemansuhan Institusi Kanak-Kanak

By 23 November 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Mohd. Anuar Ibrahim (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 23 November (Malaysiaaktif) – Isu pemansuhan institusi kanak-kanak adalah amat penting berikutan kebanyakan masyarakat Malaysia masih tidak menyedari impak negatif dari segi mental dan fizikal yang dialami bayi dan kanak-kanak di Malaysia apabila dihantar ke institusi kanak-kanak untuk suatu tempoh yang panjang.

Sultanah Pahang, Sultanah Hajjah Kalsom Abdullah bertitah demikian ketika merasmikan ‘Majlis Pelancaran Persidangan Pemansuhan Institusi Kanak-kanak’ di sini, hari ini.

“Saya berharap persidangan pada hari ini dapat menemui kaedah baharu untuk membantu dan mengembalikan hak kanak-kanak dan anak yatim yang ditempatkan di institusi dan apa yang lebih penting, kanak-kanak ini diberikan perlindungan, keselesaan kediaman dan kasih sayang kekeluargaan,” titah baginda lagi.

whatsapp-image-2016-11-23-at-2-27-35-pm

Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Rohani Abdul Karim berkata penggubalan undang-undang institusi kanak-kanak hanyalah satu permulaan.

Tambahnya, cabaran dalam melaksana dan memastikan sistem kasih sayang berasaskan kekeluargaan itulah yang menjadi perkara utama dalam menentukan kejayaan sistem ini di Malaysia.

“Apabila masyarakat mendengar mengenai ‘Keluarga – Asas Kasih Sayang’, kebanyakan kita akan merujuk kepada anak sendiri. Perkara ini juga perlu diterapkan kepada anak-anak yatim yang memerlukan kenangan indah zaman kanak-kanak yang tidak diperoleh di institusi tetapi boleh ditemui dalam sistem keluarga angkat,” jelas Rohani.

Persidangan Pemansuhan Institusi Kanak-Kanak anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia yang berlangsung selama dua hari bermula 23 hingga 24 November ini merupakan persidangan yang menghimpunkan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam membincangkan langkah yang lebih sesuai dalam membantu pembesaran anak-anak yatim di Malaysia.

whatsapp-image-2016-11-23-at-2-27-44-pm

Turut dibincangkan, kriteria baharu yang diperlukan dalam proses pengambilan anak angkat, punca-punca peningkatan bilangan anak yatim di Malaysia serta cara berkesan menangani masalah pembuangan bayi.

Majlis yang dihadiri kira-kira 200 wakil dari pelbagai NGO ini turut dihadiri oleh Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia, Tan Sri Faizah Mohd Tahir.

– AH

Tinggalkan komen anda