Gambar fail Panggung Anniversari semasa zaman kegemilangannya.
Laporan/ Foto: Zaharah Ismail & Azri Zainal Abidin (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 23 November (Malaysiaaktif) – Mungkin ramai yang membesar sekitar tahun 70an di Kuala Lumpur masih ingat persembahan berjadual oleh artis-artis tempatan di Panggung Anniversari pada hujung minggu.
Sungguh popular persembahan dan konsert yang diadakan hingga ia menjadi sebuah institusi ikonik yang bukan sahaja membantu mengisi kalendar hiburan orang ramai di ibu negara, malahan juga menjadi persada untuk mengasah dan menyerlahkan bakat artis-artis popular sekarang.
Panggung Anniversari yang dibina di kawasan Kebun Bunga Kuala Lumpur (kemudian Taman Tasik Perdana) dengan pembiayaan oleh syarikat Malayan Tobacco, Shell Berhad dan Dunlop itu dirasmikan dengan penyerahan kepada Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam satu upacara ringkas yang diadakan di panggung tersebut pada 25 Ogos 1967.
Setelah sekian lama melalui zaman kemalapan, kegemilangan Panggung Anniversari kini dalam usaha untuk diserlahkan semula.
Sehubungan itu, pembukaan semula Panggung Anniversari yang telah diubahsuai di Taman Botani Perdana akan kembali menjadi ikonik.
Pengurus Kebudayaan Jabatan Kebudayaan, Keseniaan, Pelancongan dan Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mohamed Fauzi Ahmad menyatakan hasrat ini kepada wartawan dalam satu sidang media yang diadakan semalam.
“Panggung Anniversari ini juga akan menjadi ‘Rumah Orkestra DBKL bagi persembahan bulanan dengan menjemput artis-artis popular tanah air mempersembahkan hiburan secara percuma kepada warga kota,” katanya.
Menurutnya, pembukaan semula Panggung Anniversari yang mempunyai pelbagai kenangan manis kepada artis-artis dan pengunjung ini akan mempersembahkan ‘Konsert Dari Panggung Anniversari’, anjuran DBKL dengan kerjasama Yayasan Artis 1Malaysia.
“Konsert ini diadakan bersempena perasmian pembukaan semula Panggung Anniversari setelah ditutup bagi kerja-kerja pengubahsuaian pada 2014,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Fauzi berkata konsert ini diadakan bagi mengembalikan nostalgia kegemilangan Panggung Anniversari di samping usaha menyokong industri hiburan tanah air dan artis-artis 1Malaysia.
Seramai 15 artis tanah air diiringi Okestra DBKL dan Kumpulan Kesenian DBKL akan beraksi di konsert yang akan berlangsung pada 3 Disember ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Yayasan Artis 1Malaysia, Datuk Irwan Shah Abdullah atau lebih dikenali sebagai Datuk DJ Dave memaklumkan bahawa konsert yang akan berlangsung selama 1 jam 45 minit ini diadakan secara percuma.
Tambahnya, konsert ini bakal menampilkan beberapa artis terkenal tanah air seperti Datuk M. Nasir, Datuk A. Rahman Hassan, Awie, Salamiah Hassan, Hazami, Fauziah Latiff, Shima, Haiza, Amelina dan Caliph Buskers.