Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kemahiran Anyam Rotan Mampu Jana Pendapatan

By 30 November 2016Tiada komen2 minit bacaan

  Oleh: Chang Mui Fui (Sabah)

KOTA KINABALU, 30 Nov (Malaysaktif) –  Dahulunya hanya minat, namun akhirnya menjadi suatu kemahiran yang mengubah kehidupan hasil daripada anyaman rotan bagi menghasilkan pelbagai produk barangan untuk memenuhi permintaan pasaran.

Kemahiran menganyam yang dimiliki ternyata membawa Saliah Sarudin, 52, bersama abang iparnya Empin Galing, 56, bergerak jauh mempromosikan produk barangan tempatan yang berasaskan anyaman rotan.

Saliah yang berasal dari Kampung Gansurai, Kota Belud berkata mulanya aktiviti tersebut sekadar minat menganyam untuk dijadikan bakul bagi kegunaan sendiri tetapi minat ini saban hari mendapat permintaan dalam kalangan penduduk kampung.

“Akhirnya daripada  menghasilkan sebuah dua buah bakul kepada lima dan lebih disebabkan permintaan daripada penduduk kampung.

Saliah

Saliah menjual kraf tangan

“Ini menyebabkan saya terus menganyam dan semakin mahir serta berkemampuan menghasilkan produk bakul lebih banyak,” kata Ibu kepada tiga anak ini yang mempunyai minat mendalam terhadap seni anyaman sejak muda lagi.

Saliah tidak menoleh lagi apabila mendapat tawaran mengikuti kursus seni kraf tangan anjuran Kraftangan Malaysia pada empat tahun lalu bersama dengan Empin Galing, 56, yang juga merupakan abang iparnya.

“Terima kasih kepada Kraftangan Malaysia kerana banyak memberi tunjuk ajar terutama tentang cara-cara untuk menghasilkan pelbagai produk bukan sahaja bakul malah beg, topi, bubu dan sebagainya.

“Sebelum ini, hasil anyaman hanya dijual di pasar-pasar tamu sahaja tetapi sekarang setelah mendapat bimbingan kraftangan, kami dapat menubuhkan sebuah perniagaan Osveroka Handicraft serta mempunyai pelanggan daripada pelbagai tempat di seluruh Sabah,” katanya.

Merendah diri apabila ditanya tentang jumlah pendapatan sebulan, dia hanya tersenyum dan berkata menerima pendapatan lebih seribu.

Abang ipar Saliah yang menjual di Centre Point

Dia ditemui ketika mengikuti penganjuran program ‘Culture Blizt’ di Pusat Beli-Belah Centre Point pada Ahad.

Walaupun telah mahir menganyam, namun Saliah dan Empin tetap mengikuti kursus menganyam bagi meningkatkan kemahiran serta kefahaman pelbagai cara anyaman dan kursus anyaman terdekat di Kota Belud pada lima hingga sembilan Disember  ini.

Ujarnya lagi, melalui kemahiran menghasilkan produk berasaskan rotan ini dia berharap barangan ini akan terus berkembang dan mendapat permintaan bukan sahaja di sekitar Sabah malah hingga ke Sarawak, semenanjung mahu pun ke luar negara.

Bagi merealisasikan harapan ini dia dijangka akan mengikuti pameran anjuran Kraf Tangan Malaysia di Kuala Lumpur pada Februari 2017.

-SF

 

 

Tinggalkan komen anda