Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Kemenangan ini untuk Pendidikan Awal Kanak-Kanak-Lee Boon

By 6 November 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Mohd Baharruddin Mohamad

KUCHING, 6 Nov (Malaysiaaktif)- “Duit kemenangan ini nanti saya akan gunakan untuk membuat program yang dapat memanfaatkan bidang pendidikan awal kanak-kanak di Sarawak.”

Ng Lee Boon yang menerima kategori Anugerah Pertubuhan Wanita Cemerlang berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Wanita 2016 Peringkat Sarawak yang berlangsung di Stadium Perpaduan, Petra Jaya Kuching di sini, pada Jumaat.

Tambahnya, hasil duit yang diterima adalah untuk akaun tabung persatuan Pengasuh kanak-kanak berdaftar Sarawak dan berharap agar persatuan lebih maju lagi pada masa akan datang.

“Saya berasa gembira sekali kerana terpilih menerima anugerah seperti ini sekali gus menambahkan lagi semangat saya dan persatuan dalam memajukan aktiviti-aktiviti persatuan kami,” jelasnya yang menerima sijil penghargaan berserta plak kristal dan cek bernilai RM10,000.

img_6404

Sementara itu, Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Hajah Fatimah Abdullah berkata perayaan Hari Wanita diadakan setiap tahun untuk memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada kaum wanita yang telah berkorban dalam pelbagai bidang kehidupan demi pembangunan Sarawak.

“Program ini juga untuk menghargai penglibatan wanita dalam bidang seperti ekonomi, pendidikan, sosial, sukan, politik dan seni yang merupakan acara tahunan anjuran Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS).

“Pada tahun ini, tema “Wanita Sarawak dalam Pendidikan-Membentuk Akal Minda, Jasad dan Jiwa” yang dipilih sangat bersesuaian sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan berterusan golongan wanita yang sangat signifikan dalam proses pengasuhan, bimbingan dan pendidikan kanak-kanak,” ujarnya.

img_6407

Tambahnya, dalam konvensyen tahunan tersebut mereka telah mengemukakan tiga usul supaya Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan khas untuk membolehkan Kursus Khas Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Inggeris diadakan untuk guru-guru dan pengasuh taska dan tadika di seluruh Sarawak.

“Selain itu, membantu membekalkan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dan menyediakan peluang latihan di setiap daerah di Sarawak bagi menampung keperluan guru, pengasuh dan institusi prasekolah bagi meningkatkan kecekapan dalam mengajar bahasa Inggeris,” jelasnya lagi.

Pada majlis tersebut empat lagi tokoh wanita turut menerima anugerah masing-masing.

img_6403

Bagi kategori Datuk Patinggi Laila Taib dianugerahkan kepada Datuk Ursula Goh Dumpangol yang menerima hadiah berbentuk sijil berserta plak kristal dan cek bernilai RM5000.

Dayang Azizah Abang Zaidan pula menerima anugerah kategori Ketua Menteri Usahawan Wanita Anugerah manakala Hajah Serina Sauni pula menerima Anugerah Ketua Menteri Kepimpinan Wanita dan Prof Madya Dr. Madeline Berma menerima Anugerah Pencapaian Khas dalam Bidang Pendidikan.

Mereka masing-masing menerima sijil penghargaan beserta plak kristal dan cek bernilai RM3000.

Seramai 6000 orang telah hadir pada majlis yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

SF

Tinggalkan komen anda