Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurWilayah Persekutuan

KL PWTC 70 Tingkat Ikon Baharu UMNO

By 29 November 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Malaysiaaktif) – Saya percaya bangunan Kuala Lumpur Putra World Trade Center (KL PWTC) ini akan menjadi ikon kepada UMNO untuk menunjukkan kejayaan Melayu.

Demikian kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adenan Tengku Mansor ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah yang berlangsung di Hentian Putra petang tadi.

Tambahnya, pembinaan bangunan ikonik tersebut menggambarkan kejayaan 70 tahun kewujudan UMNO.

“Inilah rancangan UMNO setelah berusia 70 tahun. Presiden, Datuk Seri Najib Razak cuba membina bangunan baharu setinggi 70 tingkat untuk menunjukkan kejayaan Melayu,” katanya.

Sementara itu, bagi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, KL PWTC merupakan tanda kejayaan orang Melayu dan rakyat Malaysia.

 

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron

“Kita tahu kejayaan ini tak datang secara tiba-tiba. Umpama yang bulat tidak datang bergolek yang pipih terbang melayang. Suatu usaha yang digarapkan oleh semua pemimpin UMNO yang ditubuhkan dari 1946 sehingga hari ini. Maka tersergam indah bangunan yang menjadi kebanggaan parti.

“Ini juga bukti UMNO berjaya mentadbir dan mengurus negara dengan baik. Kalau kita tak boleh tadbir urus negara dengan baik kita pasti ekonomi tidak kukuh maka tiada kemakmuran ekonomi dan kita tak dapat membina bangunan sebegini,” jelasnya.

Idris juga berpendapat KL PWTC merupakan sebuah bangunan yang memenuhi kehendak masa hadapan.

“Bentuknya seperti futuristik dan mengambil kira kepentingan asli orang Melayu di sini menerjah ke masa hadapan dengan masjid berkapasiti 5000 jemaah. Saya kira cukup seimbang antara kemajuan dan nilai-nilai yang mesti dipertahankan,” ujarnya lagi.

Bagi Ahli parlimen paling lama berkhidmat dalam Parlimen di Malaysia, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah Tengku Mohd Hamzah, pembinaan bangunan tersebut menunjukkan kemajuan Malaysia.

Tengku Razaleigh

Tengku Razaleigh

“Bangunan ini melambangkan Malaysia bertambah maju. Bangunan ini lebih baik berbanding yang lama melambangkan kemajuan yang dicapai oleh rakyat kita, satu-satunya simbolik.

“Rasa megah kerana kita dapat melakukan sesuatu yang lebih maju, lebih baik, lebih progresif berbanding apa yang kita mula dahulu,” ujarnya.

Kerja-kerja fizikal KL PWTC akan dimulakan pada 11 Mei 2017 bersempena tarikh kelahiran UMNO dan dijangka siap pada 2020.

AAS

Tinggalkan komen anda