Oleh Mohd Baharruddin Mohamad
MUKAH, 15 Nov (Malaysiaaktif) – Kota Samarahan atau lebih dikenali sebagai Kota Ilmu dahulunya sebuah kampung terpencil kini telah berjaya mengorak langkah ke arah era pembangunan sebuah bandar yang berkembang pesat, maju dan moden.
Kota Samarahan yang dahulunya dikenali sebagai Daerah Muara Tuang pernah berada di bawah tampuk kepimpinan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Mahmud bermula pada 1970.
Di bawah kepimpinan Tun Pehin, Kota Samarahan sekarang amat berbeza sekali dengan Kota Samarahan empat dekad yang lalu setelah banyak program pembangunan dilaksanakan.
Menurut kakitangan Majlis Daerah Kota Samaraha, Bolhassan Mohamad, Kota Samarahan patut dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran Kota Samarahan kerana penduduknya kini mencecah ratusan ribu maka dengan sendirinya peningkatan sosioekonomi serta pembangunan infrastruktur dan prasarana hingga menjadi sebuah bandar yang berkembang pesat.
Beliau ditemui semasa upacara pengisytiharan Majlis Perbandaran Kota Samarahan bertempat di pekarangan Dewan Suarah Kota Samarahan pada Ahad
“Kota Samarahan juga terkenal dengan nama Kota Ilmu kerana pelbagai institusi pengajian tinggi dan pendidikan seperti UNIMAS, UiTM dan Institut Pendidikan Guru, institusi perubatan seperti Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak yang bertaraf dunia bukan sekadar memberi rawatan kepada pesakit jantung malah dijadikan pusat penyelidikan untuk para pelajar dalam dan luar negara.
“Kenaikan taraf Kota Samarahan daripada sebuah majlis daerah ke sebuah majlis perbandaran amat tepat pada masanya dan sesuai dengan perubahan yang telah dialami oleh Kota Samarahan,” ujarnya.
Sementara itu, penduduk kampung, Ali Mohamad, 45 berkata, dia sangat terharu melihat perkembangan kampung kerana dulu Muara Tuang hanya merupakan tempat pertanian sahaja kini menjadi Perbandaran dan sebuah Bandar yang cantik, bersih dan terancang.
“Saya berharap semoga Kota Samarahan ini akan lebih maju lagi agar setaraf dengan Bandar lain dan menyeru kepada penduduk Samarahan untuk terus giat menyumbang kepada usaha kerajaan bagi mencapai matlamat pembangunan negeri,” jelasnya.
-SF