Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Program ‘ETA’ Tingkatkan Penguasaan Bahasa Inggeris Pelajar Luar Bandar

By 1 November 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan dan Foto oleh: Edawati Sulaiman (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Malaysiaktif) – “Program Pembantu Pengajar Bahasa Inggeris (English Teaching Assistantship – ETA)’ telah berjaya meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah khususnya di luar bandar”.

Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Khair bin Mohamad Yusof berkata demikian semasa temubual bersama wartawan di Majlis Perasmian Pameran ‘The Malaysia Fulbright ETA Showcase 2016’ yang berlangsung di Perpustakaan Negara di sini, semalam.

Majlis turut meraikan 100 orang Pembantu Pengajar Bahasa Inggeris yang berjaya menamatkan sesi pengajaran hampir 10 bulan di sekolah-sekolah di lapan buah negeri seluruh negara iaitu di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.

“Kehadiran guru-guru dari negara luar secara tidak langsung merangsang minat para pelajar menguasai bahasa dunia tersebut dengan lebih berkeyakinan melalui komunikasi yang lebih santai serta menghiburkan dalam pelbagai kegiatan yang dirangka,” tambah Tan Sri Dr Khair.

Jelas beliau lagi “Interaksi dan perkongsian budaya antara dua negara secara tidak langsung menukar persepsi terhadap kedua-dua negara berdasarkan pengalaman yang dialami sendiri”.

img-20161101-wa0027

Menurut Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Malaysia-Amerika, Dr. James M. Coffman mengenai Pertukaran Pendidikan (MACEE), “Program ini yang telah masuk tahun ke-5  pelaksanaannya memberi manfaat besar kepada semua ETA kerana mereka bukan sahaja dapat melihat keindahan dan budaya rakyat Malaysia dan mengalami kehidupan di bandar kecil malah dapat memupuk kesefahaman dengan keramahan masyarakat setempat”.

Tambah beliau, “Penguasaan Bahasa Inggeris sebenarnya dapat ditingkatkan bukan sekadar dengan latihan melalui pembelajaran di dalam kelas, namun ia lebih menarik dengan kepelbagaian penggunaannya melalui aktiviti kokurikulum seperti kem Bahasa Inggeris, ‘choral speaking’, nyanyian, penulisan dan sebagainya”.

Pendapat ini turut disokong oleh Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Edgard Kagan, “Jaringan kerjasama antara Malaysia-Amerika bukan hanya setakat menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa yang mudah dikuasai oleh masyarakat Malaysia tetapi ia juga dapat digunakan sebagai bahasa kedua dalam pertuturan harian dan aktiviti yang dilakukan”.

Bagi pelajar SMK Sayong, Perak, Nur Ameera Farhana binti Mohamad Sabri, 16, yang mewakili pelajar-pelajar yang mengikuti program ETA berkata, “Kehadiran guru-guru ETAs banyak membantunya dan rakan-rakan dalam memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris serta menambah keyakinan untuk  bertutur dalam bahasa tersebut”.

“Jika dahulu saya rasa kurang yakin untuk bertutur dan berucap dalam Bahasa Inggeris di khalayak, hari ini telah terbukti bahawa saya mampu melakukannya malahan tidak lagi kekok untuk berinteraksi dengan guru-guru ETA menggunakan Bahasa Inggeris,” jelas Nur Ameera.

Fulbright merupakan program biasiswa antarabangsa yang merangkumi pertukaran pendidikan serta kebudayaan di antara Amerika Syarikat dengan 155 negara lain.

Di Malaysia, Program Fulbright termasuk Fulbright English Teaching Assistanship (ETA) dikendalikan oleh Malaysia-American Commission on Educational Exchange (MACEE).

ETA terdiri daripada graduan Ijazah Sarjana Muda dari Amerika Syarikat yang telah tamat pengajian dan terpilih untuk mengikuti program ini.

-DK

Tinggalkan komen anda