Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Perkampungan Sunnah Siri Ke-9 Perjelas Pengertian Jihad

By 4 hari yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat

KANGAR, 6 Mei (Malaysiaaktif) – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa jihad bukanlah sesuatu yang merujuk kepada keganasan atau terorisme sepertimana yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dan cuba menyebarkan Islamofobia.

“Pemahaman jihad yang kadang kala digambarkan dalam bentuk keganasan yang dilakukan oleh sesetengah pihak yang terpencil, tidak mewakili maksud jihad sebenar yang difahami oleh majoriti umat Islam,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian dalam Majlis Perasmian Penutup Perkampungan Sunnah Siri Ke-9 : Jihad Memartabatkan Dakwah, Mempertahankan Ummah di Masjid Alwi, di sini semalam.

Raja Muda Perlis berkenan merasmikan Majlis Perasmian Penutup program.

Tambah Baginda lagi, dalam Islam kita diperintahkan untuk hidup secara harmoni dan aman damai sesama manusia tidak kira Muslim mahupun bukan Muslim.

“Islam sentiasa memerintahkan kita menyantuni semua manusia tanpa mengira agama.

“Kewujudan segelintir mereka yang ekstrim dan menyalahgunakan istilah jihad untuk keganasan, maka sama sekali tidak diterima di sisi agama suci ini, sepertimana yang terkandung dalam al-Quran dan sunah,” titah Baginda.

Program selama tiga hari bermula 3 Mei lalu merupakan program tahunan anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis sejak tahun 2015.

Jelas Baginda lagi, negeri Perlis berusaha memartabatkan sunah dan ia ditegakkan bukan sekadar perkara-perkara cabang seperti basmalah perlahan atau tidak berqunut subuh secara berterusan tetapi sunah yang hendak ditegakkan itu lebih komprehensif.

Turut berangkat hadir Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

-ZS-

Tinggalkan komen anda