Oleh Mohd Baharruddin Mohamad
MUKAH, 4 Nov (Malaysiaaktif) – Muzium Mini Sapan Puloh yang merupakan gedung simpanan barang lama khazanah masyarakat Melanau kini menjadi tarikan pelancong ke Mukah.
Sebagai satu-satunya destinasi pelancongan di Kampung Tellian Tengah di sini, ia memperagakan sebahagian besar daripada kekayaan seni dan budaya Melanau di bawah satu bumbung bagi manfaat orang luar dan juga generasi terkini masyarakat tersebut.
Pemilik Sapan Puloh, Tommy Black Mark yang juga berperanan sebagai ‘kurator’ gedung ini berkata baginya muzium mini ini istimewa kerana semua bahan yang dipamerkan adalah koleksi peribadi warisan keluarganya.
Antara tarikan utama, termasuk kelengkapan istiadat perkahwinan, seperti barang-barang untuk majlis dan juga pelbagai artefak perubatan yang digunakan oleh mereka sejak dahulu kala.
Semasa dikunjungi oleh Malaysiaaktif, Tommy menjelaskan bahawa adat istiadat perkahwinan masyarakat Melanau bermula daripada saat merisik, bertunang sehinggalah ke fasa kemuncak, iaitu majlis perkahwinan.
Tommy menegaskan bahawa budaya dan istiadat masyarakat Melanau merangkumi saat kelahiran, perkahwinan sehinggalah kepada kematian. Rentetan jangka masa kesemua ini berkait rapat dengan kepercayaan masyarakat lampau terhadap makhluk halus dan elemen semangat sebelum kedatangan agama Islam dan Kristian.
“Saya mohon kepada mana-mana pihak sama ada swasta atau kerajaan yang boleh mengetengahkan serta membantunya untuk membuat video sebagai rujukan bagi generasi akan datang.
“Tanpa langkah pemeliharaan, sebarang adat masyarakat akan hilang begitu sahaja.
“Saya harap agar mana-mana pihak berkaitan mendokumentasikan adat perkahwinan Melanau dengan lebih teratur dan baik sebagai warisan budaya negara,” ujarnya yang mengusahakan sendiri muzium tersebut bersama keluarganya.
Sementara itu, dua pelajar politeknik, Nur Arfahzalina dan Christie Charle yang ditemui berkata mereka kagum dengan usaha Tommy menyimpan khazanah lama.
“Generasi seperti kami perlu tahu tentang adat istiadat kaum sendiri untuk pengetahuan dan jika tiada orang sanggup membuat seperti ini maka siapa-siapa akan terkapai-kapai mencari khazanah seperti ini di kemudian hari.
“Perkara seperti ini perlu diusahakan dengan lebih baik agar khazanah lama tidak habis ditelan zaman.
“Walaupun saya anak bangsa Melanau tapi saya kurang faham tentang adat istiadat serta pantang larang perubatan nenek moyang dulu. Nasib baik Tommy ada menyimpan serba sedikit barang lama seperti ini,” ujar Nur Arfahzalina.
Sapan Puloh dibuka daripada pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari dengan bayaran kemasukan antara RM2 hingga RM10.