Oleh : Malini Md Yunos
PORT DICKSON, 16 Nov (Malaysiaaktif) – Budaya jenayah rasuah bermula dari naluri nafsu, perasaan tamak dan merasa tidak cukup dengan apa yang ada. Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengurusan dan Profesionalisme, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jamidan Abdullah memaklumkannya dihadapan kira-kira 200 orang hadirin semasa merasmikan program Konvensyen Sektor Pengurusan dan Profesionalisme SPRM di Ilham PNB Resort, Port Dickson hari ini.
Menurut Jamidan, tanggungjawab mencegah rasuah tidak boleh diletakkan kepada SPRM semata-mata tetapi melibatkan semua pihak termasuklah pemimpin negara, penjawat awam dan rakyat ammnya.
Sekiranya rasuah dibiarkan secara berterusan maka undang-undang akan dipinggirkan seterusnya memungkinkan perundangan negara ditentukan oleh pengamal rasuah, katanya lagi.
Ujarnya lagi, SPRM melalui pendekatan strategik menjelang 2017 memfokuskan untuk meningkatkan kerjasama rakyat bagi memerangi rasuah. SPRM membela kepentingan rakyat melalui usaha membantu mencari penyelesaian isu yang menyentuh kepentingan rakyat seperti kelemahan peguatkuasaan undang-undang, isu bantuan subsidi kerajaan, isu ketirisan projek infrastruktur, isu pembalakan haram dan penyeludupan di sempadan.
Jamidan berkata, jenayah rasuah adalah amalan keji bertentangan dengan ajaran agama yang meruntuhkan bangsa dan tamadun. Sehubungan itu peranan penjawat awam khususnya pegawai SPRM yang diamanahkan dengan kuasa dan tanggungjawab perlu memikul tugas tanpa menjual maruah diri dan organisasi.
Jamidan berkata untuk membendung jenayah rasuah budaya integriti perlu dibina di kalangan penjawat awam dan keluhuran undang-undang kerana diyakini mampu mengelakkan penipuan dan salah guna kuasa. Jika seorang individu menyemai rasa benci dan hina kepada jenayah rasuah nescaya negara terhindar dari amalan rasuah ini.
Program konvensyen hari ini turut disertai Ketua-ketua Bahagian Pengurusan & Profesionalisme SPRM, ketua jabatan peringkat daerah, mahasiswa dari Kolej Universiti Islam Melaka dan Kolej Vokasional Port Dickson.
-MRR