Foto: The Star
KUALA LUMPUR, 26 Dis — Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) merupakan rasuah adalah tidak masuk akal.
“Tafsiran Mahathir mengenai rasuah jelas amat jauh berbeza daripada kita semua. Tidak pernah kita dengar sesuatu yang begitu tidak masuk akal,” kata Salleh dalam catatan di blog beliau di http://sskeruak.blogspot.my/, Isnin.
Salleh berkata Malaysia telah menyalurkan bantuan kebajikan sejak sekian lama iaitu sebelum Dr Mahathir menjadi perdana menteri pada 1981.
Beliau berkata sejak tahun 2000, Terengganu telah memberikan bantuan langsung kepada penduduk di negeri itu dalam pelbagai bentuk, sama seperti BR1M.
“Wang Ehsan yang diputuskan oleh Mahathir yang membiayai program bantuan khas Terengganu itu. Selepas melaksanakan Wang Ehsan dan program bantuan di Terengganu pada 2000, Mahathir kini menukar pendirian dan mengutuk BR1M,” katanya.
Media tempatan semalam melaporkan Dr Mahathir mendakwa BR1M merupakan satu bentuk rasuah dan dengan itu salah di sisi undang-undang atau satu jenayah.
Sementara itu, Salleh turut bertanya kepada Dr Mahathir bahawa sekiranya pembangkang berkuasa adakah semua bantuan dan program kebajikan akan dihapuskan, dan pada masa yang sama menggesa Dr Mahathir memberi penjelasan lanjut berhubung perkara itu.
“Bagaimana anda sanggup klasifikasikan program bantuan sebagai rasuah? Adakah potongan dan rebat cukai juga rasuah? Bagaimana pula dengan zakat dan kebajikan? Semuaya adalah dalam bentuk bantuan sama seperti BR1M.
“Apabila orang lain terima bantuan Mahathir kata ia rasuah. Bagaimana pula apabila keluarganya sendiri menjadi kaya raya dan anak-anak lelakinya menjadi jutawan? Apa yang kita gelar itu? Mahathir tidak akan kata BR1M adalah rasuah jika anggota keluarganya sendiri menerimanya,” kata Salleh.
http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2016/12/26/br1m-rasuah-tak-masuk-akal/