Skip to main content
Home

Desakan Tindakan Tegas Terhadap Pemandu Bas Guna Telefon Bimbit

By 27 Disember 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

MUAR, 27 Dis — Bimbang akan keselamatan diri susulan tersebarnya video memaparkan pemandu bas ekspres memandu dalam keadaan leka sambil menggunakan telefon bimbit, kalangan penumpang bas yang ditemui hari ini, mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemandu bas yang berbuat sedemikian.

Kalangan penumpang bas yang ditemui Bernama di Stesen Bas Bentayan, di sini, hari ini, menzahirkan rasa bimbang dan tidak puas hati terhadap tindakan sambil lewa dan tidak bertanggungjawab segelintir pemandu bas ekspres.

Semalam, Bernama melaporkan pihak polis akan menjalankan siasatan terhadap dua rakaman video berdurasi 18 saat dan 16 saat daripada seorang penumpang memaparkan pemandu bas memandu secara leka sambil menggunakan telefon bimbit dan merokok dari Tol Tangkak ke Stesen Bas Bentayan, yang kemudiannya menjadi viral di laman sosial.

Penumpang itu yang memuat turun video terbabit menggunakan akaun Firdaus Wong Wai Hung (Official) mendakwa dia menaiki bas tersebut ke Muar dari Terminal Bersepadu Selatan Kuala Lumpur pada pukul 11.30 pagi dan perbuatan itu dirakam setelah bas terbabit keluar dari Plaza Tol Tangkak.

Ini berlaku dua hari selepas kejadian kemalangan bas ekspres di Km137.3, Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Pagoh, yang meragut 14 nyawa dan mencederakan 16 yang lain pada 24 Dis.

Suhadah Johan, 21, pelajar kolej di Kuala Lumpur, berkata adalah amat berbahaya jika pemandu bas leka menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

“Bagi saya, merokok ketika memandu boleh diterima kerana mungkin itu adalah salah satu cara pemandu untuk menghilangkan rasa bosan dan mengantuk, namun saya tidak boleh menerima tindakan pemandu menggunakan telefon bimbit ketika memandu kerana amat berbahaya.

“Sedikit kecuaian mungkin boleh membawa padah dan mengundang risiko kepada keselamatan penumpang,” katanya yang sering menaiki bas ekspres setiap kali balik bercuti di kampung halaman.

Turut berkongsi pendapat yang sama, Norhafizah Saidin, 43, berkata pihak berkuasa perlu segera mengambil tindakan tegas terhadap pemandu bas menerusi penguatkuasan undang-undang kerana ia membabitkan keselamatan dan nyawa orang ramai.

“Negara kita mempunyai undang-undang khusus bagi membendung perkara ini, cuma mungkin kita kurang memberi penekanan dari segi penguatkuasaan.

“Namun begitu, bagi saya perkara ini tidak wajar hanya dipikul oleh pihak berkuasa sahaja kerana apa yang lebih penting adalah kesedaran dalam diri semua pengguna jalan raya,” kata penjawat awam yang bertugas di Kuala Lumpur itu.

Sementara itu, Mohd Farid Irwan, 17, pula berkata pemilik syarikat bas perlu memantau dan menjaga disiplin pemandu mereka agar lebih bertanggungjawab ketika memandu.

“Syarikat bas perlu mengambil kira aduan penumpang dan mengambil tindakan terhadap pemandu yang bermasalah,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda