Oleh Dearjoland Denis Sitampek (Sabah)
SANDAKAN, 20 Disember (Malaysiaktif) – Sebesar mana pun rintangan pasti akan diharungi seperti bak kata pepatah melayu, ‘Lautan Api sanggup kan ku renangi’.
Begitulah semangat yang ditunjukkan oleh Terry Justin, 30, anak jati Daerah Penampang sanggup memperjuangkan nasib demi minat kepada dunia sukan permotoran ‘Sabah Drag Battle 2016’ dengan mengharungi perjalanan sejauh 330 Kilometer dari Penampang ke Sandakan.
Bekerja sebagai kontraktor, langsung tidak menghalang beliau untuk menceburi sukan yang kini dianggap sebagai hobinya.
Terry Justin berkata, selama ini beliau memang sering terlibat dalam dunia permotoran namun tidak berpeluang menunjukkan bakat dan minat berikutan kekangan tugas.
“Pada pertandingan Sabah Drag Battle kali ini saya tidak akan biarkan ia berlalu tanpa mencuba dan saya yakin impian untuk berjaya pasti mampu direalisasikan,” Katanya ketika ditemui diakhir Pertandingan Sabah Drag Battle 2016 di Litar Sandakan Turf pada Ahad.
Penyertaan pertama dalam sejarah hidup sebagai pelumba ‘Sabah Drag Battle 2016’ bagi kategori kereta merupakan pengalaman cukup berharga setelah sekian lama menyimpan hasrat sebagai pelumba.
“Saya tidak akan meninggalkan kerjaya saya kerana ia adalah periuk nasi saya sejak dulu, tapi minat dan keinginan sebagai pelumba tidak harus hanya jadi angan-angan,” Ujarnya.
Jelasnya lagi kereta jenis Nissan Navara yang dipandunya memang tidak sesuai kerana mempunyai badan yang berat berbanding Toyota Hilux atau Isuzu Dmax, tapi ia bukan menghalang yang penting teknik.
Pertandingan anjuran Kinabalu Suria dengan kerjasama Sandakan Turf Club dan MUSC Motorsport ini berjaya mendapat penyertaan lebih 200 peserta bagi kategori motosikal dan kereta daripada seluruh Sabah termasuklah penyertaan daripada negara Thailand.
Penganjur Kinabalu Suria, Gusri Puang Leceng berkata penganjuran kerjasama MUSC Motorsport ini iaitu suatu pertubuhan di bawah kementerian Belia dan Sukan bertujuan memberi kesedaran belia untuk tidak terlibat dengan perlumbaan haram.
“Kerjasama ini adalah bagi mencari bakat-bakat belia untuk digilap sebagai pelumba yang berkebolehan dalam sukan permotoran,” Katanya ketika dihubungi media.
Bagi Peserta kategori kereta, Falco Fletcher, 25 berkata sukan permotoran di negeri ini dilihat semakin popular dan pertandingan ini dapat memberi pendedahan awal kepada pencarian bakat muda pelumbaan.
“Pertandingan ini baik untuk para belia hari ini yang ingin berlumba secara sihat dan selamat serta profesional dari terlibat dengan perlumbaan haram di jalan raya.
Katanya lagi walaupun hari ini tidak memenangi sebarang kategori tapi merasa puas dapat berlumba dan mempelajari teknik perlumbaan dalam meningkatkan prestasi kenderaan dan teknik.
Pada pertandingan tersebut Johan bagi kategori Diesel Prostreet Open Turbo dimenangi Jaturon Eamrod mewakili Alphatech Malaysia, Naib johan, Thien Lee Yuen mewakili Powerlab Tawau dan ketiga Mohd Saman Rusli dari Provigo Diesel Project Lahad Datu.