Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj Bulka
MELAKA, 14 Dis (Malaysiaaktif) – Berpegang pada pesanan arwah ayah yang menghembuskan nafas terakhir pada tahun 2008, anak muda yang baru berusia 24 tahun, Ashwad Abd Rahim, mampu membina empayar perniagaan sendiri.
Menurut Ashwad, ayahnya, Allahyarham Sarjan Abd Rahim sempat berpesan kepadanya untuk belajar atau berniaga bersungguh-sungguh agar dapat menjaga kebajikan ibu dan adik beradik lain jika mereka dalam kesusahan.
Ashwad yang manja dengan ayahnya, tidak berkesempatan menggenggam segulung ijazah kerana meninggalkan alam persekolahan ketika berada di tingkatan empat akibat hilang fokus untuk belajar selepas pemergian ayahnya ketika itu.
Dengan itu, dia cuba bangkit dan bermula dengan pekerjaan mengutip bola golf dengan gaji RM40 sehari, dan seterusnya turut mencuba pelbagai pekerjaan lain seperti pelayan kafe, runner insurans, memasang banner di tepi jalan sehinggalah dia nekad untuk cuba berniaga sendiri.
“Pendapat saya, dalam usia muda, tak perlulah kita pilih kerja hanya kerana ingin bersuka ria atau mengikut peredaran zaman. Apa yang penting, kita perlu belajar bertanggungjawab cari rezeki untuk keluarga sendiri,” ujarnya.
Ketika memulakan perniagaan PlayToys PitStop Centre di Taman Mini ASEAN, Ayer Keroh, Ashwad mengambil risiko memulakan perniagaan permainan dengan menyediakan sepuluh unit kereta mainan untuk disewakan sebagai permulaan.
“Saya lihat sambutan yang diterima sangat memberangsangkan dan kemudian saya ambil keputusan ke negara China untuk memilih basikal dan mainan menarik serta unik yang boleh diniagakan dan disewakan,” jelasnya.
Anak bongsu daripada lima beradik itu kini berjaya memiliki lebih 1,000 basikal dan kereta mainan riadah pelbagai jenis dan membuka beberapa cawangan di negeri ini termasuk kedai mencuci kereta dan motor serta sewaan jet ski dan banana boat di Teluk Kemang, Port Dickson.
Ekoran kos sara hidup yang tinggi, Ashwad turut menjual dan memborong pelbagai jenis basikal, kereta mainan yang ditempah daripada pelanggannya dari seluruh negara.
“Kos barang yang ditempah pelanggan bernilai antara RM170 hingga RM2,700 bergantung kepada jenis dan saiz mainan yang mereka inginkan,” ujarnya kepada Malaysiaaktif ketika ditemui.
Hasil usaha itu bukan sahaja mampu mengubah kehidupannya kepada keadaan yang begitu selesa, tetapi turut membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda di negeri ini untuk menambah pendapatan.
Ashwad yang mempunyai 18 orang pekerja setakat ini turut membuka sebuah cawangan di Melaka International Bowling Centre, di sini dan kini berhasrat untuk membuka cawangan seterusnya di Dataran Ayer Keroh kerana lokasinya yang menarik dan merupakan pintu masuk pelancong ke Melaka.
“Proposal mengenai hal itu akan saya majukan menggunakan tiket Majlis Gabungan Belia Melaka melalui presidennya Mohd Ridwan Mohd Ali kepada pihak berkenaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ashwad juga sedang memohon pinjaman daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) berjumlah RM200,000 untuk meneruskan projek baharu bersama Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) iaitu projek penanaman serai dan pisang di dalam kawasan Taman Mini Malaysia & Mini Asean.
“Saya berazam mengusahakan projek ini bersungguh-sungguh hingga menjana pendapatan baru dan mewujudkan lagi peluang pekerjaan kepada anak muda di negeri ini dengan sokongan kuat daripada isteri saya, Che Airanie Che Asin,” katanya yang mempunyai seorang cahaya mata berusia 10 bulan.
Tambahnya, apa yang lebih membanggakan, dia kini mampu menjaga dan memberi wang kepada ibunya setiap bulan hasil usaha kerasnya mencari nafkah setiap hari.
“Kini, saya berhasrat untuk tunaikan hajat mak untuk ke Mekah bagi menunaikan haji dan insya-Allah saya dan keluarga akan bersama-sama menunaikan rukun Islam itu nanti,” ujar Ashwad gembira.
Sementara itu, seorang pengunjung yang turut mencuba permainan di Taman Mini ASEAN, Noor Azureen Mohd Sharif berkata, permainan yang disediakan menarik minat kanak-kanak dan yang penting selamat digunakan kerana ianya bukanlah permainan yang lasak.
“Orang dewasa juga tertarik untuk mencuba permainan yang disediakan sebab unik dan terdapat dalam pelbagai bentuk, ditambah lagi nilai sewa yang ditawarkan rendah dan tiada had masa,” katanya teruja.