KUALA LUMPUR, 14 Dis — Projek Mass Rapid Transit (MRT) akan mengubah gaya hidup rakyat negara ini ke arah lebih moden dengan pengangkutan awam menjadi norma dalam kehidupan seharian, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, MRT bukan sekadar projek infrastruktur, tetapi sesuatu yang dirangka dengan memikirkan pengguna iaitu rakyat sebagai kriteria paling utama.
“Projek MRT Laluan SBK (Sungai Buloh-Kajang) ini juga bukan satu-satunya projek sedemikian rupa.
“Banyak lagi projek yang telah dan sedang kita rencanakan untuk rakyat dalam masa terdekat dan untuk jangka panjang,” katanya dalam catatan di laman blognya NajibRazak.com.
Najib dijadual merasmikan Fasa 1 MRT SBK meliputi 12 stesen antara Sungai Buloh dan Semantan pada Khamis.
Beliau berkata projek yang memanfaatkan semua rakyat sebeginilah yang menjadi keutamaan kerajaan pimpinannya.
“Kita ingin Malaysia maju seiring dengan rakyatnya, bukan mendepani atau meninggalkan rakyat di belakang,” katanya.
Beliau berkata projek MRT berkenaan akan menjadi pemula, penggerak dan pemacu kepada mod pengangkutan awam pilihan serta bakal membawa Malaysia yang serba moden dan terus maju ke hadapan.
http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2016/12/14/mrt-ubah-gaya-hidup-rakyat/