Skip to main content
EkonomiHome

Perjanjian HSR Dimeterai Pada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura

By 13 Disember 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

PUTRAJAYA, 13 Dis — Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-7 bermula di Putrajaya Selasa dengan pertemuan empat mata antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong sebelum menandatangani Perjanjian Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang bersejarah.

Lee, yang disertai oleh beberapa menteri kabinet dan para pegawai kanan, kemudian terus ke mesyuarat delegasi dengan delegasi Najib untuk kedua-dua pihak membincangkan isu-isu dua hala kepentingan bersama dan mengkaji kemajuan kerjasama dua hala yang sedia terjalin.

Perbincangan juga akan berkisar kepada membina momentum perbincangan yang diadakan dan inisiatif yang dipersetujui semasa Pemukiman Pemimpin 2015.

Kedua-dua perdana menteri kemudian akan menyaksikan majlis pemeteraian Perjanjian HSR Kuala Lumpur-Singapura oleh Menteri Penyelaras bagi Infrastruktur merangkap Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Malaysia dan Singapura menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai projek HSR pada 19 Julai tahun ini untuk membuka jalan bagi projek tersebut yang membolehkan pelancong tiba di destinasi akhir antara kedua-dua bandaraya dalam masa hanya 90 minit.

Kerja-kerja pembinaan landasan kereta api sepanjang 350 kilometer itu akan bermula tahun depan dan beroperasi pada 2026, untuk meningkatkan kesalinghubungan, mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat dan memperbaiki hubungan perniagaan antara kedua-dua negara.

Keseluruhannya ia mempunyai lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri, dan Singapura.

Pada sebelah malam, Najib akan menjadi hos bagi majlis makan malam rasmi di Seri Perdana sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-7.

Pemukiman Pemimpin ialah acara tahunan yang diadakan secara bergilir antara Malaysia dan Singapura.

Pemukiman Pemimpin buat julung kali diadakan pada Mei 2007 di Langkawi dan sejak itu ia menjadi forum untuk kedua-dua negara mengukuhkan lagi hubungan dua hala.

Pada 2015, Singapura merupakan rakan perdagangan Malaysia yang kedua terbesar di dunia dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencecah USD59.5 bilion (ketika itu RM190.6 bilion).

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda