Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

KTD Kepah Akhiri Perkhidmatan Bersama TLDM

By 21 Disember 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Ahmad Kamarulzaman bersama pegawai tertinggi TLDM memberi penghormatan sempena Gada-Gada Tauliah diturunkan simbolik kepada pelucutan tauliah KTD KEPAH. 

 

Oleh Asmidar Zainol / Foto: Shahvian Muhammad Razali (Sabah)

KOTA KINABALU, 21 Disember (Malaysiaktif) – Setelah 36 tahun menabur bakti bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Kapal Tunda Diraja (KTD) KEPAH mengakhiri perkhidmatannya hari ini di Markas Wilayah Laut 2.

Penglima Tentera Laut Malaysia, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamaruzaman Hj Ahmad Badaruddin berkata, penamatan perkhidmatan kapal tersebut dilakukan secara rasmi dalam upacara penuh istiadat pelucutan tauliah.

“Upacara ini merupakan satu istiadat yang dilakukan di mana-mana negara di dunia bagi menghargai dan menghormati sumbangan khidmat kapal dan warga kapal.

“Kapal berusia 40 tahun ini telah berkhidmat selama 36 tahun dengan TLDM dan saya amat teruja, terharu dan bangga kerana walau pun kapal berkenaan telah berusia, ia masih dalam keadaan baik kerana diselenggara dan dijaga rapi oleh pegawai-pegawai pemerintah dan anak-anak kapal tersebut,” ujarnya.

2

Pegawai Memerintah Terakhir KTD KEPAH, Lt Kdr Amirul Aminur Othman (kiri) menyerahkan senarai nama warga terakhir KTD KEPAH kepada Ahmad Kamarulzaman (kanan) untuk diabadikan sebagai lipatan sejarah TLDM sambil disaksikan oleh Khairul Anuar (dua dari kanan).

 

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada bekas pemerintah dan anak kapal yang telah menjaga kapal tersebut dengan dengan baik.

Kapal KTD KEPAH dibina pada tahun 1976 oleh Asahi Ship Building Yard, ditauliahkan pada 1 Mac 1980 oleh Panglima Tentera Laut ke-6, Laksamana Madya Dato’ Mohd Zain Mohd Salleh setelah dibeli daripada firma pelabuhan Jurong, Singapura pada tahun 1980.

Kapal tersebut dinamakan sebagai Kapal Tunda Diraja (KTD) KEPAH dengan nombor pengenalan 8 dari nama asalnya ASIATIC SUCCESS.

Berkeluasan 35 meter panjang dan 8 meter lebar, kapal ini berfungsi memberikan bekalan air dan minyak kepada kapal-kapal yang sedang menjalankan operasi di sekitar perairan Sabah agar tempoh pemantauan kapal-kapal TLDM di kawasan operasi dapat dipanjangkan.

Kapal tersebut juga pernah terlibat di dalam beberapa operasi utama di Sabah antaranya Ops Pasir Laut dan Ops Atria di Gugusan Semarang Peninjau dan telah diterajui oleh 27 orang Pegawai Pemerintah sepanjang ia berkhidmat bersama TLDM.

4

Ahmad Kamarulzaman (duduk, tengah), Khairul Anuar (duduk, dua dari kanan) dan Abdul Ghani (duduk, dua dari kiri) bergambar kenangan bersama Mantan Pegawai Pemerintah dan anak-anak kapal KTD KEPAH.

 

Ahmad Kamaruzaman juga menerangkan upacara hari ini merupakan titik permulaan kepada pelan Program Transformasi ’15 to 5′ Armada TLDM.

“Pelucutan tauliah ini adalah sebagai usaha TLDM untuk menyusun semula armada yang kini terdiri daripada 15 kelas kapal kepada lima kelas kapal agar ia dapat diselenggara dengan lebih efektif.

“Ia juga secara tidak langsung akan dapat menjimatkan kos dan penjimatan tersebut akan digunakan untuk pembuatan kapal baharu sebagai sebahagian daripada pelan “15 to 5”.

“Selain itu, pelan transformasi ini secara tidak langsung akan menentukan usaha kerajaan mengukuh dan memantapkan lagi keselamatan Malaysia Timur khususnya Sabah berada di landasan yang baik,” terangnya kepada pihak media selepas  upacara Pelucutan Tauliah KTD KEPAH di Jeti Pangkalan TLDM Sepanggar, pagi tadi.

Merujuk kepada KTD KEPAH, Ahmad Kamarulzaman memaklumkan kapal yang telah dilucutkan tauliah akan ?dilupuskan berdasarkan beberapa pilihan berasaskan yang mana akan memberikan pulangan yang baik kepada TLDM dan kerajaan.

Antara pilihan tersebut adalah berkemungkinan akan dijual kepada mereka yang berminat, perdagangan tukar barang (barter trade), dijadikan sebagai sasaran untuk latihan atau dilupuskan terus.

 

Tinggalkan komen anda